Bekalan air di kawasan Sabak Bernam dijangka terganggu berikutan kerja-kerja ujian dan menaik taraf sistem agihan air terawat daripada Loji Rawatan Air (LRA) Bernam River Headworks (BRH).

Dalam satu kenyataan hari ini, Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas), Priscilla Alfred berkata sehubungan itu Syabas menjangkakan bekalan air di kawasan berkenaan akan terganggu dari aspek tekanan rendah dan kualiti air ekoran kerja-kerja itu.

Projek menaik taraf itu melibatkan pembinaan dua buah rumah pam iaitu di Kolam Imbangan Air di LRA BRH dan Parit 16, Sabak Bernam, bagi membolehkan penyaluran sehingga 65 juta liter sehari (JLH) dari LRA BRH ke seluruh daerah Sabak Bernam menerusi paip sedia ada.

Berikutan itu, Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas) mengaktifkan Pelan Tindakan Kecemasan (ERP) kod hijau di kawasan Sabak Bernam sejak 3 petang semalam.

Beliau berkata kerja menaik taraf yang bermula pada 20 Mei itu melibatkan penyusunan semula sistem agihan, meningkatkan tekanan dan aliran pada sistem agihan sedia ada.

Menurutnya, kerja-kerja ujian dan pentauliahan tersebut mengambil masa seminggu, manakala sistem agihan yang terlibat dijangka pulih sepenuhnya dalam masa seminggu secara berperingkat.

Pada masa sama, Syabas juga sedang giat melakukan pencucian kolam-kolam dan kerja-kerja teknikal pada jajaran paip agihan dan retikulasi bagi memulihkan kualiti air yang diagih, katanya.

Sehubungan itu, Priscilla berkata Syabas menyediakan lori tangki dan tangki statik bagi memberi bantuan bekalan air di kawasan yang mengalami gangguan sama ada dari segi bekalan, tekanan rendah dan kualiti air.

Katanya, Syabas akan sentiasa memantau situasi tersebut bagi memastikan kawasan terlibat mendapat bekalan air dan kerja-kerja pentauliahan dan menaik taraf pulih sepenuhnya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang aduan atau pertanyaan boleh menghubungi Pusat Perkhidmatan Pelanggan Syabas (Puspel) menerusi talian bebas tol yang beroperasi 24 jam di talian 1-800-88-5252 atau SMS ke 39222 atau membuat aduan di laman Facebook atau Twitter Syabas.