Bekalan air ke Terusan Besar Bagan Serai, di Kerian akan dikurangkan secara berperingkat disebabkan penyusutan air di Empangan Bukit Merah.

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Tenaga dan Air Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata paras semasa air di empangan itu adalah 6.10 meter dan jika mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP), pengurangan perlu dilakukan secara berperingkat sebelum dihentikan sepenuhnya.

"Bekalan ke Terusan Besar perlu mengambil sedikit masa untuk ditutup sepenuhnya memandangkan terdapat risiko berlaku keruntuhan tebing ban jika paras air susut mendadak," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan makanan Yayasan Bina Upaya di Kampung Sungai Tukang Sidin di sini pada Jumaat

Menurut Zainol Fadzi, walaupun bekalan air ke Terusan Besar ditutup tetapi bekalan air dari kolam Bukit Merah, Rumah Pam Kerian dan Rumah Pam Padang Lalang masih beroperasi seperti biasa tetapi dalam jumlah yang terhad.

"...dan bekalan dari ketiga-tiga tempat itu bergantung kepada paras air Sungai Kerian dan Sungai Kurau," katanya dan menambah bekalan air ke kawasan industri juga tidak terjejas.

Menjelas lanjut Zainol Fadzi berkata keutamaan untuk bekalan air dari Empangan Bukit Merah akan diberi kepada Lembaga Air Perak bagi kegunaan domestik seperti keperluan minuman.

"Sekiranya paras empangan sampai ke tahap 5.18 meter dan memberi kesan kepada bekalan air, ada kemungkinan kita akan memulakan catuan di sekitar kawasan berkenan," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata kawasan sawah padi seluas 17,167 hektar meliputi kompatmen (petak) A, B, C, D, E dan F di sekitar daerah Kerian masih terkawal dengan bantuan pam bergerak yang dibekalkan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Pertanian serta Projek Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Bagaimanapun, beliau berkata pelepasan air ke kawasan sawah padi seluas 4,697 hektar di Selinsing serta Semanggol di Kerian terus ditangguhkan sehingga keadaan bekalan air kembali pulih.