KUALA LUMPUR : Jabatan Perkhidmatan Veterinar diberikan masa selama seminggu untuk mencadangkan kepada Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi mengenai corak pengurusan data pengeluaran serta import ayam.

Dalam masa sama, Menteri Komunikasi dan Multimedia  (K-KOMM) yang juga Pengerusi jawatankuasa itu, Tan Sri Annuar Musa berkata, rekod permit import (IP) perlu ada dalam kawalan jabatan itu bagi menentukan jumlah import yang dikemas kini.

"Kita belajar daripada pengalaman, buat masa ini kita menangguhkan semua dasar yang telah ditetapkan. Sama ada dasar membenarkan import masuk ayam bulat, dasar untuk tidak membenarkan eksport, ia hendaklah dikekalkan dan tidak akan diubah sehingga agensi tertentu yang dipilih menguasai pengurusan data dengan lebih teratur.

"Pertama, Jabatan Vaterinar diberikan masa seminggu untuk mencadangkan kepada Jawatankuasa Khas Jihad Tangani Inflasi satu corak pengurusan data pengeluaran dan import ayam supaya berapa banyak ayam diimport walaupun diimport tanpa menggunakan lesen import (AP) lagi, tetapi mereka masih lagi perlu mengambil permit import (IP). 

"Rekod IP hendaklah ada dalam kawalan jabatan itu untuk tentukan berapa jumlah diimport mesti ada," katanya dalam sidang media Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi pada Khamis.

Selain itu katanya, jumlah pengeluaran ayam tempatan yang boleh dieksport juga perlu ditetapkan serta bagi unjuran-unjuran bulan mendatang.

"Justeru, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dikehendaki mempunyai satu dasar melibatkan jumlah bekalan ayam yang dikemas kini dan perlu ada pada sesuatu masa," tambahnya. 

Selain itu, Annuar berkata, Jabatan Perangkaan Negara diberi kuasa bagi membolehkan ia melakukan perangkaan kos sebenar pengeluaran di ladang industri ayam.

Jelasnya, perangkaan daripada jabatan itu akan menjadi rujukan bulanan sekali gus dapat mengawal selia harga siling dan subsidi sementara kerajaan.

"Kita memutuskan, Jabatan Perangkaan Negara diberikan autoriti bagi membolehkan mereka compute berapakan sebenarnya kos pengeluaran di peringkat ladang ayam seperti pernah dilakukan terhadap barangan bahan binaan yang boleh digunakan sebagai benchmark untuk menentukan harga patut di peringkat runcit dan jualan biasa," ujarnya lagi.