KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) memaklumkan isu bekalan gula di Kedah pulih sepenuhnya.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, gangguan bekalan yang berpunca daripada kelewatan penghantaran itu tidak berlaku di seluruh negeri itu, tetapi hanya melibatkan dua atau tiga lokasi di negeri itu.

Menurutnya, sejumlah 176 pegawai penguatkuasa juga telah digerakkan bagi melakukan pemeriksaan terhadap 214 premis termasuk pemborong dan peruncit selain satu pemeriksaan di kilang pengeluaran.

"Setakat 20 Mei, bekalan gula yang dihasilkan dua syarikat pengeluar utama mencapai 796.721 metrik tan untuk negeri tersebut.

“Walaupun ada aduan, KPDN bergerak pantas dan pulihkan sepenuhnya. Setakat ini, di Kedah bekalan gula telah pulih sepenuhnya," katanya di lobi Parlimen di sini, pada Isnin.

Bekalan gula di Kedah pulih, 2 kg gula ditetapkan RM5


Tambah Salahuddin, beliau berharap tidak berlaku pembelian panik dan sekiranya terdapat aduan, ia segera dilaporkan kepada KPDN.

Jelasnya lagi, terdapat empat lokasi Jualan Rahmah di Kedah bagi memulihkan bekalan gula iaitu di Ben Eng Huat, Pasaraya Kawan Kita (Sik), Pasaraya Kawan Kita (Gurun) dan Pasaraya Kawan Kita (Ambangan Height).

"Harga bagi setiap dua kilogram gula ditetapkan pada kadar RM5," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan tindakan tegas akan diambil ke atas mana-mana pihak yang menyorok atau memanipulasikan barangan terkawal itu.

Katanya, beliau tidak ajan berkompromi dengan modus operandi itu.