MELAKA: Bekalan makanan negara ketika ini mencukupi dan stabil, kata Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu.
Beliau berkata bagaimanapun perubahan harga mungkin berlaku sekiranya bekalan semasa kehabisan dan kemudian digantikan dengan kemasukan stok baharu mengikut harga semasa.
Advertisement
“Ia bergantung kepada situasi semasa. Konflik berpanjangan (di Asia Barat) yang menjejaskan bekalan minyak global akan memberi impak besar kepada kos pengeluaran dan pengedaran makanan di seluruh dunia,” katanya.
Mohamad berkata demikian pada sidang media selepas Program Sentuhan Agro MADANI bersama pemimpin peladang negeri Melaka di Bukit Katil di sini hari ini.
Beliau berkata kerajaan mengurus situasi berkenaan dalam kerangka kesiapsiagaan krisis dengan pendekatan pemantauan berterusan serta tindakan segera sekiranya keadaan bertambah buruk.
Antara dilakukan ialah perbincangan dengan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang akan diadakan dalam masa terdekat sekiranya terdapat perubahan subsidi atau bantuan kepada rakyat.
“Kita bekerja dalam bentuk kesiapsiagaan krisis dan bukan darurat. Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) boleh memanggil kami pada bila-bila masa untuk penyelarasan dan arahan lanjut,” katanya.
Mohamad berkata agensi di bawah kementerian termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) akan terus menyalurkan maklumat terkini kepada petani bagi memastikan sebarang perubahan dapat ditangani dengan cepat dan berkesan.
Beliau berkata hubungan baik dengan negara rangkaian juga akan memberi kelebihan kepada Malaysia dalam penawaran harga bagi keperluan pertanian seperti baja.
"Kita amat bergantung kepada barangan import ini. Jadi kita akan bincang secara mendalam termasuk dengan KPDN mengenai harga barangan import dan sebagainya jika berlaku perubahan harga," katanya.
Terdahulu, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan turut menyalurkan peruntukan pembangunan tahun ini kepada beberapa agensi di Melaka bagi memperkukuh rantaian bekalan makanan dan meningkatkan produktiviti sektor agromakanan.
Antara penerima ialah Lembaga Pertubuhan Peladang (RM1.8 juta), Jabatan Pertanian (RM3.55 juta), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (RM400,000), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (RM1.15 juta), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (RM88,000), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) (RM558,000) serta Jabatan Perikanan Malaysia (RM1.3 juta).
Program itu turut dimeriahkan dengan Jualan Agro MADANI yang menawarkan pelbagai barangan keperluan asas pada harga hingga 30 peratus lebih rendah melalui kerjasama agensi di bawah kementerian.
Pada masa sama, beliau berkata peladang di Melaka mencatatkan keanggotaan sebanyak 16,135 ahli di bawah lima Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK), sekali gus mencerminkan kekuatan komuniti akar umbi dalam menyokong pembangunan sektor agromakanan negara.
-- BERNAMA