KOTA BHARU: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menjangkakan bekalan ternakan mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban pada Aidiladha ini, kata Timbalan Menteri MAFI II Datuk Che Abdullah Mat Nawi.

Beliau berkata ia susulan selepas Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) mengambil kira keperluan masjid, surau dan rumah sembelihan yang dianggarkan permintaan bagi lembu dan kerbau untuk korban adalah 39,172 ekor manakala kambing dan bebiri, 21,949 ekor sempena perayaan itu.

Katanya, mengikut statistik JPV setakat 31 Mei lepas, stok bekalan lembu dan kerbau secara keseluruhannya adalah 43,842 ekor, dengan ternakan lembu atau kerbau bagi pasaran tempatan untuk penyembelihan hari raya korban sebanyak 33,650 ekor manakala ternakan diimport adalah 10,192 ekor.

"Sementara bekalan ternakan kambing atau bebiri bagi pasaran tempatan untuk penyembelihan hari raya korban sehingga Mei lepas, adalah 24,316 ekor dan bekalan diimport dan bersedia untuk penyembelihan korban adalah sebanyak 8,857 ekor menjadikan keseluruhan bekalan ternakan itu sebanyak 33,173 ekor," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan dan tinjauan di Kompleks Abatoir Kota Bharu yang terletak di Pengkalan Chepa, dekat sini, pada Sabtu.

Turut hadir Timbalan Pengarah JPV negeri Dr Syarifah Asiah Mohd Amin.

Dalam perkembangan sama, sebanyak 27 rumah sembelihan JPV di seluruh Semenanjung Malaysia sedia untuk beroperasi dan 10 daripada rumah sembelihan berkenaan telah memenuhi syarat Export Supply Chain Assurance System (ESCAS) bagi tujuan penyembelihan ternakan dari Australia.

"Di samping itu, JPV telah mengeluarkan lesen kepada 35 rumah sembelihan swasta di seluruh Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban," katanya.

Sementara itu, Che Abdullah turut memberitahu sebanyak 20,376 penternak lembu, kerbau (1,454), kambing (7,627) dan bebiri (1,421) yang berdaftar di bawah MAFI setakat ini.

-- BERNAMA