KUALA LUMPUR: Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bongawan, Datuk Karim Bujang meninggal dunia tengah hari tadi di kediamannya di Kampung Sipanggil, Putatan, Sabah.
Beliau menghembuskan nafas terakhir pada usia 73 tahun.
Perkara itu disahkan Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin yang juga merupakan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
“Terlalu banyak kenangan saya bersama Allahyarham. Sebelum saya berkecimpung dalam politik, saya pernah menjadi peguam pengiring untuk Allahyarham ketika penamaan calon dalam pilihanraya umum/negeri tahun 2004. Waktu itu Allahyarham menjadi calon Barisan Nasional (BN) untuk DUN Bongawan.
“Allahyarham juga antara pemimpin yang membimbing saya dan membawa saya masuk dalam sistem politik UMNO Bahagian Kimanis. Waktu itu Allahyarham adalah Ketua Bahagian Penaja UMNO Kimanis. Perjalanan politik saya menerusi Pemuda UMNO Kimanis banyak didorong oleh Allahyarham.
“Pertama kali saya bertanding calon BN di Dun Bongawan pada tahun 2013, Allahyarham juga merupakan antara sosok yang banyak membantu memenangkan saya pada waktu itu. Selamat berehat sifu politikku. Semoga Allah sentiasa mencucuri rahmat ke atas roh Allahyarham," katanya dalam kenyataan di media sosial hari ini.
Allahyarham berkhidmat sebagai ADUN Bongawan selama lima penggal, dari tahun 1990 hingga 2013.
Sepanjang berkhidmat sebagai wakil rakyat, Karim pernah diberi tanggungjawab sebagai Pembantu Menteri dalam Kabinet Sabah, antaranya dalam portfolio kewangan serta pelancongan, kebudayaan dan alam sekitar.
Karim kemudian meneruskan pembabitan dalam politik menerusi Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan bertanding di kerusi Parlimen Kimanis pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018.
Beliau turut menjadi calon Warisan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis pada tahun 2020.