MALAYSIA
Bekas akauntan didakwa ubah wang haram

Rafidah mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhamad Anas Mahadzir. - Foto Bernama
SHAH ALAM: Seorang bekas akauntan sebuah syarikat pendidikan awal kanak-kanak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM216,478.
Ringkasan AI
- Rafidah Basar, bekas akauntan, didakwa atas enam pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM216,478, melibatkan pemindahan dan penerimaan wang hasil aktiviti haram.
- Kesalahan dilakukan antara Ogos 2023 hingga Mac 2024 di cawangan CIMB dan Maybank Islamic di Shah Alam, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta AMLA.
- Mahkamah membenarkan jaminan RM12,000 dengan dua penjamin, tertuduh dilarang mengganggu saksi dan sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Oktober 2025.
Wanita itu turut berdepan lima pertuduhan menerima hasil daripada aktiviti haram iaitu wang berjumlah RM54,478, yang mana wang itu dimasukkan ke dalam akaun Maybank Islamic dan CIMB bank miliknya setelah memperdayakan dan menipu individu sama bahawa wang berkenaan adalah untuk pembayaran zakat bagi syarikat serupa.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan CIMB bank dan Maybank Islamic sekitar Shah Alam antara 30 Ogos 2023 hingga 4 Mac 2024, mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta yang mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya V. Manjira menawarkan jaminan RM60,000 bagi enam pertuduhan tersebut dengan syarat tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah.
Peguam Iqmal Jamal yang mewakili Rafidah memohon jaminan RM10,000 bagi kesemua pertuduhan mengambil kira anak guamnya mempunyai pendapatan sekitar RM1,000 ke RM2,000 dengan membantu ibunya menjual kuih.
"Tertuduh juga mempunyai seorang kakak orang jurang upaya (OKU) yang berada di bawah jagaan dia dan ibunya, selain tertuduh telah memberi kerjasama yang baik sepanjang siasatan dijalankan," katanya.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM12,000 dengan dua penjamin bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan tidak dibenarkan mengganggu saksi pendakwaan manakala sebutan semula kes ditetapkan pada 6 Okt ini.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami