KUALA KRAI: Kenaikan harga barang mentah tidak menjadi halangan kepada seorang bekas cef, Ghazali Osman, 50, untuk menjual donat pada harga 10 sen sebiji sejak enam tahun lepas.

Ghazali berkata beliau mula berniaga kuih itu selepas berhenti kerja di sebuah hotel di ibu negara pada 2018 kerana mengikut isteri, Roshamidah Che Ibrahim, 44, pulang ke kampung, di sini, bagi menjaga mentua yang sakit.

"Apabila pulang ke kampung, saya tidak mempunyai pengalaman untuk bekerja kampung dan menoreh getah.

"Demi menyara keluarganya, saya nekad menggunakan pengalaman 30 tahun bekerja di hotel dalam bidang bakeri dan pastri dengan memberanikan diri menjual donat secara kecil-kecilan di kedai sekitar kampung," katanya kepada Bernama di Kampung Chuchuh Puteri di sini hari ini.

Ghazali berkata beliau juga menjual donat berkenaan pada harga 10 sen sebiji selepas dicabar oleh kenalannya dan tidak menyangka jualan mendapat sambutan.

Beliau mengakui tetap memperoleh untung walaupun sedikit dan kuih itu pada masa ini mendapat permintaan terutama daripada asrama dan kantin sekolah.

"Sekarang saya mampu membuat 1,000 donat sehari dan permintaan lebih tinggi apabila musim cuti sekolah serta perayaan kerana ramai pelanggan membuat tempahan untuk majlis kenduri.

"Walaupun kos barangan mentah tinggi, saya masih bertahan dan akan kekal pada harga ini kerana orang sudah kenal saya menjual pada harga 10 sen sebiji," katanya.

Bagi menambah pendapatan, Ghazali berkata beliau turut menjual 18 jenis kuih sejuk beku dan mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM2,800 sebulan bergantung pada musim.

-- BERNAMA