SHAH ALAM: Seorang bekas Ketua Pegawai Eksekutif UiTM Holdings Sdn.Bhd mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah jenayah ke atas harta.
Mengikut pertuduhan, tertuduh, Azlizan Fadzil, 53, didakwa telah menyalahgunakan RM37,374,612.68 yang diperuntukkan bagi tujuan pelaburan pembangunan penjanakuasaan elektrik solar photovoltaic berskala besar dengan saiz 50MW di Gambang, Pahang di antara 02 Februari 2017 dan 02 Oktober 2017, di sebuah bank di Cawangan UiTM Shah Alam.
Pertuduhan dibuat di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh minimum dari dua tahun, dan maksimum dari dua puluh tahun dan dengan sebat serta boleh juga dikenakan denda.
Timbalan Pendakwa Raya, Lau Chin How mencadangkan jaminan sebanyak RM100,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan iaitu melaporkan diri ke SPRM tiga bulan sekali.
Bagaimanapun, peguam Hasshari Johari Mawi yang mewakili tertuduh memohon RM20,000 untuk jaminan atas alasan tertuduh tidak mempunyai apa-apa sumber pendapatan ketika ini atas faktor kesihatan.
“Anak guam kami mempunyai masalah kesihatan serius melibatkan gangguan kepada otak dan tubuh badan.
"Beliau kini bergantung sepenuhnya kepada isteri dan ahli keluarganya sepenuhnya dan mempunyai tujuh orang anak yg masih bersekolah yang berusia 21 hingga 14 tahun,” katanya.
Hakim Mohd Nasir Nordin kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM50,000 dengan dua orang penjamin serta syarat tambahan iaitu pasport tertuduh perlu diserahkan ke mahkamah, tertuduh perlu melaporkan diri ke pajabat SPRM tiga bulan sekali dan tidak menganggu saksi.
Mahkamah kemudian menetapkan 3 November ini untuk sebutan semula kes.