PUTRAJAYA: Seorang bekas hakim dan seorang ahli perniagaan sekali lagi gagal dalam rayuan mereka untuk mendapatkan semula wang RM182,100 yang dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), empat tahun lepas.

Ini berikutan panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Vazeer Alam Mydin Meera menolak rayuan Azmil Muntapha Abas, 49, dan Leong Peng Woon, 68, selaku perayu dan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam yang menolak rayuan mereka untuk mendapatkan semula wang tersebut.

Vazeer Alam yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim dan Datuk S.M. Komathy Suppiah, dalam keputusan sebulat suara berkata tiada kekhilafan dalam keputusan Mahkamah Tinggi dan responden (pendakwa raya) telah membuktikan permohonan untuk melucut hak wang tersebut adalah mengikut undang-undang.

"Kami juga berpuas hati bahawa tuntutan kedua-dua perayu juga telah dipertimbangkan oleh kedua-dua mahkamah (Mahkamah Tinggi dan Sesyen) dan keputusan yang dicapai oleh mahkamah itu berlandaskan kepada fakta serta undang-undang yang betul. Oleh itu, rayuan kedua-dua perayu ditolak," kata Hakim Vazeer Alam.

SPRM memohon untuk melucut hak wang tunai berjumlah RM182,100 kepada kerajaan selepas ia disita daripada Azmil Muntapha yang ketika itu Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Kubu Bharu, di pejabatnya pada 22 dan 26 Julai 2019.

Wang itu didakwa diperoleh daripada Leong yang merupakan seorang kontraktor melalui pinjaman berjumlah RM200,000 bagi membeli sebuah rumah lelong di Hulu Selangor.

Pada 23 Nov 2021, Hakim Mahkamah Sesyen Shah Alam Rozilah Saleh membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk melucut hak wang itu.

Azmil Muntapha dan Leong kemudian merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi dan rayuannya ditolak pada 10 April lepas.

Terdahulu, peguam Awang Armadajaya Awang Mahmud mewakili kedua-dua lelaki itu berhujah wang RM182,100 tidak boleh diambil sewenang-wenangnya, sebaliknya hanya boleh dilucut hak jika perayu gagal membuktikan ia digunakan atas 'pembelian suci'.

"Wang itu bukan berkaitan urusan rasmi sebaliknya adalah hasil daripada pinjaman persahabatan bertujuan membeli rumah di Hulu Selangor. Wang tersebut tiada kaitan dengan kesalahan rasuah yang dipertuduhkan terhadap perayu pertama (Azmil Muntapha) iaitu menerima wang RM5,000," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Fauziah Daud berkata afidavit pegawai penyiasat menyatakan wang berkenaan dirampas berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 iaitu memperoleh suapan daripada seorang ejen.

"Perayu pertama menyatakan wang tersebut dipinjam daripada perayu kedua (Leong), sedangkan wang berkenaan ditemukan di tempat-tempat yang sangat disangsikan iaitu dalam kamar dan tempat duduk hakim. Oleh itu, kami berpuas hati bahawa siasatan SPRM mendapati wang tersebut adalah daripada sumber haram," katanya.

Pada 19 Okt 2022, Azmil Muntapha dihukum penjara enam bulan dan didenda RM25,000 oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam selepas didapati bersalah atas satu pertuduhan menerima rasuah wang tunai berjumlah RM5,000 berhubung prosiding mahkamah.

Azmil Muntapha merayu terhadap keputusan itu di Mahkamah Tinggi Shah Alam dan mahkamah mengurangkan hukuman yang dikenakan terhadapnya iaitu penjara sehari dan denda RM12,000.

-- BERNAMA