Bekas jurutera Jabatan Kerja Raya (JKR) daerah Kulai didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru petang ini atas pertuduhan salah guna kuasa dan kedudukan pada tahun 2015.

Tertuduh Azizan Mohamed Yasin, 38, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Mohd Fauzi Mohd Nasir.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dengan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan suapan apabila melantik syarikat G Two Amiruddin Trading untuk melaksanakan kerja memotong rumput dan pembersihan pada Ogos 2017.

Azizan didakwa melantik syarikat tersebut bagi melakukan kerja-kerja memotong rumput dan pembersihan di beberapa jalan di sekitar Kulai dengan harga kerja berjumlah RM19,750 yang mempunyai hubungan dengan abangnya, Azizi Mohamed Yassin yang mempunyai kepentingan dalam syarikat itu.

Tertuduh yang kini berkhidmat sebagai Penolong Pengarah Kanan Bahagian Perundingan, Pengurusan Aset Cawangan Perancangan Ibu Pejabat JKR didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika disabitkan kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Khazrin Haffiz Khalil manakala tertuduh diwakili peguam Iskandar Shah Ibrahim.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta dua syarat lain iaitu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah dan melaporkan diri setiap awal bulan di Ibu Pejabat SPRM Johor.

Mahkamah menetapkan 31 Julai ini tarikh sebutan semula kes.

-- BERNAMA