Skip to main content

Malaysia

Polis panggil pakar perlembagaan bantu siasatan kes Tony Pua

Kuala Lumpur , 18 Mac 2026. Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ),  Datuk M. Kumar S. Muthuvelu pada sidang media berkenaan kejayaan OP Lejang Mewah Klon : Jenayah Curi dan Klon Identiti Kenderaan di 6 Buah Negeri di Pulapol.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Polis akan memanggil seorang pakar akademik yang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan pada 3 Jun ini bagi membantu siasatan kes hantaran Facebook bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang didakwa menyentuh isu sensitif. - Gambar fail/Astro AWANI

KAJANG: Polis akan memanggil seorang pakar akademik yang pakar dalam Perlembagaan Persekutuan pada 3 Jun ini bagi membantu siasatan kes hantaran Facebook bekas Ahli Parlimen Damansara Tony Pua yang didakwa menyentuh isu sensitif.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk M. Kumar berkata rakaman percakapan pakar terbabit diperlukan bagi mendapatkan pandangan dari sudut akademik berhubung isu institusi Raja Berperlembagaan dan Rukun Negara yang dibangkitkan.

​Beliau berkata setakat ini, pihaknya telah menerima 120 laporan polis dari seluruh negara berhubung kes berkenaan dan sebanyak 95 orang saksi telah dirakam percakapan bagi membantu siasatan.

“Kami akan merakam percakapan seorang pakar akademik dari sudut Perlembagaan Persekutuan pada 3 Jun depan sebelum kertas siasatan berhubung kes ini dilengkapkan sepenuhnya.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan kerana mendatangkan kegentaran awam dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang di sini hari ini.

Polis telah membuka kertas siasatan dan merakam keterangan Tony Pua di IPD Shah Alam pada Khamis lepas, susulan satu hantaran di laman sosial miliknya yang didakwa menyentuh ketenteraman awam.

Menerusi hantaran itu, beliau didakwa menyatakan negara mengamalkan sistem Raja Berperlembagaan dengan kuasa raja secara amnya adalah terhad kepada aspek-aspek tertentu sahaja.

​-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video

Advertisement