Juruterbang maut terjun tingkat 12

Pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian dan fizikal mangsa tiada menjumpai kesan mencurigakan atau berunsur jenayah.

Mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan berbuat demikian selepas berdepan tekanan. -Gambar fail | Astro Awani
Seorang bekas juruterbang sebuah syarikat swasta ditemukan maut selepas dipercayai terjun dari unit kediamannya di tingkat 12 sebuah kondominium di Bandar Kinrara, dekat Serdang, Isnin lalu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata mangsa berusia 35 tahun itu dikatakan berbuat demikian selepas berdepan tekanan.

"Mangsa yang bekerja sebagai juruterbang di sebuah syarikat tempatan telah diberhentikan kerja 2 bulan lepas dan dipercayai dalam keadaan tidak dapat mengawal diri sebelum bertindak terjun dari rumahnya," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Tambah Ismadi, pemeriksaan di sekitar kawasan kejadian dan fizikal mangsa tiada menjumpai kesan mencurigakan atau berunsur jenayah.

Polis turut meminta supaya orang ramai tidak membuat sebarang komen yang boleh mengganggu siasatan dan mengguris hati keluarga.

Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.



Orang ramai dialu-alukan membuat aduan sekiranya berhadapan masalah ketidakstabilan emosi.



Mereka boleh berkongsi masalah atau dilema yang dihadapi dengan para sukarelawan terlatih di Befrienders.

Befrienders ialah sebuah pertubuhan bukan berasaskan keuntungan yang menyediakan khidmat sokongan emosi 24 jam sehari, 7 hari seminggu, kepada mereka yang mengalami kemurungan dan mempunyai niat untuk membunuh diri.

Befrienders boleh dihubungi di talian 03-7956 8145/8144 atau e-mel kepada sam@befrienders.org.my untuk bantuan.

Panggilan adalah percuma bermula 1 Ogos 2019.