MALAYSIA
Bekas Panglima Angkatan Tentera, Tun Mohamed Hashim Mohd Ali meninggal dunia

Allahyarham merupakan adik kepada Tun Dr Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad. - foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR : Bekas Panglima Angkatan Tentera, Jeneral (B) Tun Mohamed Hashim Mohd Ali, meninggal dunia di Hospital Gleneagles, di sini pada pukul 11.52 pagi, Rabu.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada usia 88 tahun.
Perkara itu dimaklumkan Bahagian Risikan dan Komunikasi Strategik Pertahanan, Markas Angkatan Tentera Malaysia (ATM), menerusi satu kenyataan, hari ini.
Allahyarham juga merupakan adik kepada Tun Dr Hasmah iaitu isteri bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.Menurut kenyataan itu, Markas ATM sedang mengatur gerak Operasi Rampai sebagai tanda penghormatan tertinggi ATM terhadap bekas Panglima Angkatan Tentera itu.
"Pengurusan jenazah Allahyarham dilaksanakan mengikut adat istiadat ketenteraan, termasuk istiadat penghormatan peringkat tertinggi sebelum disemadikan," kata kenyataan itu di sini, pada Rabu.
Kata kenyataan itu, jenazah Allahyarham akan disembahyangkan di Masjid Khalid Al-Walid, Kementerian Pertahanan dan disemadikan selepas solat isyak di Tanah Perkuburan Raudatul Sakinah, Sungai Besi, di sini dengan istiadat ketenteraan.
Menurutnya, istiadat penghormatan terakhir dijangka turut disertai kepimpinan tertinggi negara termasuk Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Panglima ATM, Jeneral Tan Sri Mohd Nizam Jaffar.
"Kehadiran pemimpin negara, sahabat karib dan rakan seperjuangan mencerminkan penghormatan tertinggi terhadap jasa bakti Allahyarham kepada pertahanan dan kedaulatan negara," ujarnya.
Markas ATM menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai kehilangan besar kepada ATM dan negara.
"Semoga roh beliau dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman," ujarnya.
Allahyarham dilahirkan pada 10 April 1937 di Ipoh, Perak dan merupakan antara anak tempatan yang mendapat latihan di Royal Military Academy Sandhurst, United Kingdom, sebelum ditauliahkan ke dalam Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) pada 1955.
Sepanjang kariernya, Allahyarham memegang pelbagai jawatan penting termasuk Panglima RASCOMM, Panglima 2 Divisyen dan Panglima Tentera Darat, sebelum dilantik sebagai Panglima Angkatan Tentera Kesembilan dari 1987 hingga 1992.
Sebagai Panglima Angkatan Tentera, Allahyarham dikenang sebagai pemimpin yang membawa perubahan besar terhadap hala tuju pertahanan negara, khususnya selepas berakhirnya ancaman insurgensi komunis.
Allahyarham berperanan mengalih fokus ATM daripada operasi dalaman kepada pembinaan kekuatan konvensional moden, selain memperkukuh profesionalisme, meningkatkan keberkesanan latihan serta memastikan ATM bersedia menghadapi peperangan berteknologi tinggi.
Di bawah kepimpinannya, ATM turut memperkukuh kerjasama pertahanan serantau melalui rangka Five Power Defence Arrangements (FPDA) serta kerjasama ASEAN, sekali gus mengangkat profil ATM di persada antarabangsa.
Selepas bersara pada 1992, Allahyarham kekal aktif menyumbang dalam sektor korporat dan pendidikan, termasuk sebagai Pengerusi Bumiputra-Commerce Holdings Berhad. Ketokohannya diiktiraf apabila dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun pada 2022.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami