ISKANDAR PUTERI: Polis menahan lima lelaki tempatan dipercayai terlibat dalam samun berkumpulan yang menyasarkan mangsa dikenali menerusi aplikasi mencari pasangan sejenis pada 30 Mei.
Ketua Polis Johor Datuk Ab Rahaman Arsad berkata suspek berusia 21 hingga 28 tahun itu diberkas pada 11.30 pagi di Brinchang, Cameron Highlands, Pahang oleh pasukan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Johor Bahru Selatan.
Beliau berkata kejadian melibatkan sembilan mangsa lelaki tempatan berusia 25 hingga 40 tahun dan kerugian RM315,220 di sekitar Taman Pelangi dan Kampung Majidee dari Januari hingga Mei lepas.
“Suspek menggunakan aplikasi itu untuk mencari mangsa dan mengajak berjumpa di dalam kereta.
“Kemudian, rakan suspek akan menyamar sebagai pihak keselamatan dan mengugut mangsa dengan menuduh mereka melakukan aktiviti tidak sopan di tempat awam,” katanya pada sidang media di IPD Iskandar Puteri, di sini hari ini.
Beliau berkata mangsa juga dicederakan dan barang peribadi seperti kad debit dan kredit, barang kemas serta wang tunai dirampas.
Suspek juga mendapatkan kata laluan kad bank mangsa dan akan membuat pengeluaran wang untuk membeli barang kemas.
“Hasil siasatan mendapati keterangan diperoleh (daripada suspek) konsisten dengan kejadian samun tersebut seperti dilaporkan semua mangsa,” katanya.
Ab Rahaman berkata polis merampas lima telefon bimbit, sebuah Perodua Bezza, satu resit pembelian emas, lima kad debit, masing-masing empat rantai dan subang serta dua cincin dan dua gelang tangan emas.
Semua suspek didapati negatif barang terlarang namun mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan samun dan dadah.
Kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan dengan tiga daripada suspek akan dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.
-- BERNAMA