Skip to main content

Politik

Parti baharu jangan pecah belah kaum dan agama - Ahmad Zahid

JOHOR BAHRU, 14 Jun -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn hari ini._BERNAMA
Ahmad Zahid (tengah) bercakap kepada pemberita selepas hadir pada Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar Bandar Dato Onn hari ini. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengalu-alukan penubuhan mana-mana parti politik Melayu baharu, namun berharap ia tidak memecahbelahkan perpaduan kaum dan agama.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata penubuhan wadah politik baharu oleh mana-mana individu atau tokoh seharusnya bermatlamat untuk menyatupadukan pemikiran orang Melayu.

"Kita mengalu-alukan mana-mana individu atau tokoh dengan syarat dapat menyatukan pemikiran dan tidak terus berpecah.

"Apa juga wadah yang digunakan, jika akhirnya dapat menyatukan tindakan atas agenda negara, agenda Islam dan agenda anak bangsa, sokongan akan dapat diberikan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Zikir Peringatan Haul Asmaulhusna 2026 di Masjid Sultan Iskandar, Bandar Dato Onn, di sini hari ini.

Turut hadir Setiausaha Agung UMNO Datuk Asyraf Wajdi Dusuki serta Pengerusi BN Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Ahmad Zahid mengulas mengenai kemunculan parti baharu yang berteraskan perjuangan Melayu-Islam.

Semalam, Pengasas Gerakan RESET Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penubuhan Parti Wawasan Negara yang dijadual mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan pertamanya pada minggu depan.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement