KUALA LUMPUR: Bekas Pengurus Perhubungan AmBank yang mengendali akaun milik Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengakui bahawa beliau pernah menawarkan diri memasak sup untuk Low Taek Jho, atau Jho Low, ketika ahli perniagaan dalam buruan itu sakit.

Joanna Yu Ging Ping, 51, berkata demikian ketika peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah menyoal saksi pendakwaan ke-41 itu mengenai mesej beliau melalui Blackberry Messenger (BBM) kepada Jho Low.

Muhammad Shafee: Anda rapat dengan Jho Low?

Yu: Ya, beliau pelanggan saya.

Muhammad Shafee: Beliau lebih daripada seorang pelanggan, mungkin kawan rapat?

Yu replied, "Kita tidak boleh anggap mereka sebagai musuh... Kita anggap mereka sebagai kawan. Kita layan mereka dengan baik."

Muhammad Shafee kemudian menyoal saksi itu mengenai kehadirannya di pangsapuri Jho Low dan Yu berkata tujuan beliau ke sana adalah untuk meminta bayaran daripada ahli perniagaan tersebut bagi pinjaman lain.

"Bayaran pinjaman tertunggak, apabila diminta melakukan pembayaran, beliau tidak pernah berada di sini dan enggan bertemu.

"Jadi, saya ambil peluang untuk bertanya sama ada Jho Low ada di sini dan meminta beliau membuat pembayaran bagi jumlah yang tertunggak," kata saksi itu.

Muhammad Shafee: Ada suatu ketika Jho Low sakit dan anda telah masak (sup) untuk dia?

Yu: Saya memang ada bagi cadangan, jika awak (Jho Low) mahu saya boleh masakkan sup untuk awak. Tetapi saya tidak berbuat demikian. Jika ada orang sakit, sudah tentu kita akan tawarkan diri untuk berbuat demikian.

Mendengar jawapan itu, Muhammad Shafee secara berseloroh berkata "Tidak ada bank pernah membuat tawaran seperti itu kepada saya dan saya tinggal di depan bank saya."

"Mungkin itu adalah naluri keibuan saya. Saya tiada niat lain. Saya akan bantu sesiapa sahaja," kata saksi itu.

Pada peringkat ini, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Collin Lawrence Sequerah menyoal Muhammad Shafee mengenai objektif soalan (mengenai sup) itu.

Muhammad Shafee menjawab objektifnya ialah "perkara-perkara seperti itu dibenarkan berlaku kerana tiada penilaian objektif."

Beliau kemudian sekali lagi menyoal saksi itu "Anda membenarkan diri anda menjadi begitu rapat dengan beliau sehingga anda kehilangan objektiviti?

Yu: Tidak.

Khamis lepas, saksi itu memberi keterangan bahawa beliau mempunyai hubungan kerja dan persahabatan yang rapat dengan Jho Low namun tiada sebarang perlakuan yang tidak wajar.

Najib, 69, berdepan empat pertuduhan menggunakan kedudukan beliau untuk memperoleh rasuah berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram.

Perbicaraan bersambung esok.

-- BERNAMA