Seorang bekas peguam yang cacat anggota dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, di sini hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah membabitkan nilai RM47,431.79 lapan tahun lalu.

Tertuduh, Tuah Atan, 57, yang kudung kedua belah kaki dan sebelah tangan bagaimanapun membuat pengakuan tidak bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Meor Sulaiman Ahmad Tarmizi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang ketika itu bertugas di sebuah firma guaman di sini telah diamanahkan untuk menyerahkan wang berjumlah RM47,431.79 kepada dua individu, dengan curang menggunakannya sebagai kegunaan sendiri.

Kesalahan itu didakwa dilakukan tertuduh di CIMB Bank Melaka Raya, Melaka pada 20 September 2009 lalu.

Justeru, tertuduh didakwa mengikut seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minima dua tahun dan maksima 20 tahun, dan dengan sebat dan boleh juga dikenakan denda.

Terdahulu, prosiding yang dikendalikan timbalan pendakwaraya Siti Ruvinna Mohd Rawi tidak mencadangkan sebarang jaminan. Namun beliau mencadangkan jaminan sebanyak RM60,000 diberikan terhadap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu jumlah jaminan itu dikurangkan dengan alasan dia merupakan orang kelainan upaya (OKU) sejak lahir dan tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan.

Katanya, dia juga tidak menerima sebarang bantuan kebajikan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan hanya mengharapkan ihsan orang ramai untuk meneruskan kelangsungan hidup.

Sejurus mendengar hujahan kedua pihak, Hakim kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan perlu melapor diri pada Sabtu pertama setiap bulan, di Balai Polis Senawang sehingga kes selesai.

Hakim turut menetapkan 12 Disember depan sebagai tarikh sebutan semula kes.