Skip to main content

Malaysia

Bekas pekerja didakwa perdaya syarikat, sembunyikan stok minyak sawit

Logeswaran (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Ipoh pada Rabu atas tuduhan menipu rekod pengeluaran minyak sawit mentah sebuah syarikat dalam kejadian dua tahun lalu.
T. R. Logeswaran di Mahkamah Majistret Ipoh hari ini. - Gambar/ Sinar Harian
Advertisement

IPOH: Seorang bekas pekerja Kuala Lumpur Kepong Berhad (KLK) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret, di sini hari ini atas pertuduhan memperdayakan syarikat itu dengan menyembunyikan kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah, dua tahun lepas. 

T. R. Logeswaran, 39, yang kini bekerja sebagai pengurus kilang sawit di Afrika Selatan membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Norizan Riduan.

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa secara tidak jujur menyembunyikan kedudukan sebenar stok minyak sawit mentah di Kilang Sawit Berau, Indonesia yang merupakan anak syarikat KLK.

Dia didakwa berbuat demikian dengan mengemukakan data pengeluaran minyak sawit mentah dalam Summary of Production and Despatch Record (SPDR) dan Finished Goods System (FGS) berjumlah 741.618 tan metrik, dengan niat untuk memperdayakan syarikat itu supaya menerima dan mengguna pakai rekod stok berkenaan.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Kuala Lumpur Kepong Berhad, Wisma Taiko, di sini antara 14 Mac 2024 hingga 21 Jun 2024.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Zarris Sofea Zainudin menawarkan jaminan RM10,000 dengan tiga syarat tambahan, iaitu pasport tertuduh diserahkan kepada mahkamah, dijamin dengan dua warganegara yang beralamat tetap di Perak dan melapor diri di balai polis berhampiran sekali setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Kiranjeet Kaur Sidhu yang mewakili Logeswaran merayu supaya pasport tidak ditahan kerana tertuduh bekerja di Afrika Selatan dan menanggung dua anak masing-masing berusia lima tahun serta dua tahun, selain ibu bapa yang sudah tua dan uzur.

“OKT (orang kena tuduh) sanggup sekiranya mahkamah memerlukan jaminan yang lebih tinggi supaya pasportnya dapat diserahkan kerana dokumen itu amat penting bagi OKT untuk balik bekerja (di Afrika Selatan). 

“Permohonan DPP (Timbalan Pendakwa Raya) untuk OKT melapor diri setiap bulan tidak dapat dibuat kerana OKT akan pulang ke Afrika untuk melakukan tugasnya,” katanya sambil menambah Logeswaran telah memberikan kerjasama baik kepada polis semasa siasatan.

Mahkamah kemudian menetapkan jaminan RM10,000 dengan dua penjamin yang mempunyai hubungan kekeluargaan dengan tertuduh, selain tarikh 6 Ogos ini untuk serahan dokumen.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement