Seorang bekas pekerja Pos Malaysia dihadapkan di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM5,000 bagi membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat kematian seorang lelaki, dua tahun lepas.

Abu Noor Abu Samah, 61 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Rozilah Salleh.

Tertuduh didakwa menerima sekeping cek Bank Islam Malaysia Bhd bernilai RM5,000 daripada Jamilah Mohd sebagai dorongan kononnya membantu mempercepatkan proses pembetulan maklumat pada sijil kematian atas nama Abu Bakar S.M Ashmouni kepada Abu Bakar Sulaiman Ashmouni, bersama nombor kad pengenalan berlainan.

Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu pada 5 Feb 2016, kira-kira 9.39 malam di Hong Leong Islamic Bank, Jalan Ampuan Zabedah di sini mengikut Seksyen 16 (a) (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi.

Hakim Rozilah menetapkan 16 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes dan membenarkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya dari SPRM, Mohd Firdaus Abu Hanifah mencadangkan tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM25,000 memandangkan jika tertuduh didapati bersalah dia boleh dihukum denda minimum RM25,000.

Peguam bela tertuduh, Datuk Hanif Hassan bagaimanapun memohon mahkamah menetapkan wang ikat jamin yang rendah berikutan anak guamnya tidak mempunyai pekerjaan tetap.

Semalam, Abu Noor turut dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tiga pertuduhan menerima rasuah dan dikenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan, selain perlu menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah.

-- BERNAMA