PETALING JAYA: Seorang bekas pemain bola sepak kebangsaan yang ditahan polis kerana dipercayai menceroboh masuk bilik hotel seorang wanita berstatus isteri orang akan didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya, pagi esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, lelaki berusia 49 tahun itu akan didakwa mengikut Seksyen 488 Kanun Keseksaan kerana menceroboh masuk.

Jika sabit bersalah, suspek yang sebelum ini pernah menggegarkan dunia sukan tanah air sekitar tahun 2000 itu boleh dihukum penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM5,000 atau kedua-duanya sekali.

"Kes melibatkan bekas pemain Malaysia akan tuduh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada pukul 9 pagi esok (Isnin)," katanya dalam kenyataan, di sini, pada Ahad.

Polis sebelum ini mengesahkan menerima laporan daripada mangsa yang mengatakan suspek menceroboh bilik hotelnya sebelum bertindak agresif hingga menyebabkan berlaku sedikit kekecohan.

Menurut laporan itu, 'kehadiran' suspek di tempat kejadian menyebabkan berlaku perselisihan faham sehingga menyebabkan wanita itu terpaksa mendapatkan bantuan pekerja hotel sebelum meninggalkan premis berkenaan.

Sebelum ini tular satu hantaran yang dikongsi seorang lelaki dipercayai suami mangsa yang memaklumkan suspek seorang bekas pemain kebangsaan negara dan kini bersama Perak FC.

"Tiada maaf bagi kau 'Ex Malaysia dan Perak', bila aku dah nekad nak teruskan ke mahkamah, duduklah kau dalam tahanan lokap sementara.

"Kau amat dikenali di kaca televisyen dan di padang," jelasnya.

Namun hantaran itu tidak menyebut secara spesifik individu yang dimaksudkan.

Hantaran itu dikongsi semula oleh Facebook Seladang Fan Club.