KUALA LUMPUR: Bekas penasihat undang-undang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) Jasmine Loo Ai Swan mempercayai serta menyakini sepenuhnya sistem perundangan dan kehakiman Malaysia.

Peguam Amer Hamzah Arshad dan Edmund Bon, yang mewakili Loo, berkata keutamaan anak guam mereka ialah bekerjasama dengan agensi-agensi penguatkuasaan undang-undang dalam siasatan ke atas 1MDB yang sedang berlangsung selain memudah serta membantu kerajaan Malaysia mempercepat usaha mendapatkan semula asetnya.

"Anak guam kami baru-baru ini telah menyerah diri kepada pihak berkuasa Malaysia. Dia telah ditangkap, direman dan kini dalam tahanan. Dia juga tidak sabar untuk kembali ke pangkuan keluarganya secepat mungkin.

"Dia sentiasa menganggap Malaysia sebagai tanah tumpah darahnya. Apabila tiba masanya, dia akan mendedahkan apa yang berlaku ketika tidak berada di Malaysia.

"Dia menaruh kepercayaan dan keyakinan terhadap sistem perundangan serta kehakiman Malaysia dan akan menghadapi semua perkara dengan sewajarnya. Dia juga mahu diberikan privasi dan ruang untuk melakukan apa yang perlu ketika ini," menurut kedua-dua peguam dalam kenyataan hari ini.

Loo dikatakan sekutu rapat ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho, atau Jho Low, yang terlibat dalam skandal kewangan 1MDB serta telah disenaraikan sebagai orang yang dikehendaki selepas melarikan diri dan keberadaan dia sehingga kini masih tidak diketahui.

Semalam, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail mengesahkan bahawa Loo telah ditahan polis pada Jumaat lepas (7 Julai) bagi membantu siasatan bagi kes penyelewengan dana itu.

Pada 4 Dis 2018, Mahkamah Majistret telah mengeluarkan waran tangkap ke atas Jho Low, Loo, bekas Pengarah Eksekutif 1MDB Casey Tang Keng Chee, bekas pegawai 1MDB Geh Choh Heng dan sekutu rapat Jho Low iaitu Eric Tan Kim Loong selepas mereka gagal hadir ke mahkamah untuk berdepan tujuh pertuduhan melakukan pengubahan wang haram yang dikaitkan dengan 1MDB.

-- BERNAMA