PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan di sini hari ini menolak permohonan bekas Pengarah Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) Datuk Profesor Dr N Sundra Rajoo untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan prosiding komital terhadap bekas Peguam Negara Tan Sri Tommy Thomas berhubung dakwaan kenyataan menghina mahkamah.

Ini berhubung kenyataan Thomas yang didakwa dalam afidavit yang difailkannya bagi membatalkan saman sivil yang dikemukakan Sundra Rajoo terhadap beliau (Thomas) dan 12 yang lain di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Dalam afidavit itu, Thomas antara lain mendakwa memberi imuniti kepada Sundra Rajoo daripada pendakwaan jenayah akan meletakkannya pada tahap melebihi 30 juta rakyat Malaysia malah akan menjadi kelas atas sembilan raja Melayu Malaysia.

Hari ini, panel tiga hakim diketuai Hakim Besar Sabah dan Sarawak Tan Sri Amar Abang Iskandar Abang Hashim berkata permohonan ex parte Sundra Rajoo tidak memenuhi ambang kes prima facie untuk kebenaran diberikan.

Beliau berkata Sundra Rajoo tidak mengemukakan kes bahawa kenyataan yang disangkal itu menimbulkan risiko sebenar menjejaskan keyakinan orang ramai terhadap pentadbiran keadilan.

Dua lagi Hakim Mahkamah Persekutuan yang turut bersidang ialah Datuk Zabariah Mohd Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwal.

Sundra Rajoo memfailkan permohonan ex parte pada 9 September tahun ini, memohon kebenaran untuk memulakan prosiding menghina terhadap Thomas.

Pada Julai lepas, Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Ahmad Bache menolak permohonan Thomas untuk membatalkan saman yang difailkan oleh Sundra Rajoo terhadapnya (Thomas), bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Mohd Shukri Abdull, beberapa timbalan pendakwa raya, pegawai SPRM dan kerajaan Malaysia selaku defendan atas dakwaan salah guna jawatan awam, berhubung penahanan dan pendakwaan salah terhadapnya.

Rayuan Thomas masih belum selesai di Mahkamah Rayuan.

Sundra Rajoo didakwa pada 16 Mac 2019 dengan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah berjumlah RM1.1 juta, yang didakwa dilakukan di premis AIAC di Jalan Sultan Hishamuddin di Kuala Lumpur antara 17 Ogos dan 8 Dis 2018.

Thomas merupakan Peguam Negara antara Jun 2018 dan Feb 2020.

Sundra Rajoo kemudiannya memfailkan semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi memohon perisytiharan bahawa beliau kebal daripada pendakwaan atas tindakan yang dilakukan dalam kapasiti rasminya.

Beliau memenangi kesnya di Mahkamah Tinggi tetapi Mahkamah Rayuan mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi. Beliau kemudian membawa perkara itu ke Mahkamah Persekutuan yang membuat keputusan memihak kepadanya.

Pertuduhan terhadap Sundra Rajoo kemudiannya digugurkan selepas Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa Sundra Rajoo sebagai Pengarah AIAC, berhak mendapat imuniti daripada pendakwaan bagi perbuatan yang dilakukan semasa memegang jawatan.

Pada prosiding hari ini yang dijalankan secara dalam talian, peguam Datuk Malik Imtias Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili Sundra Rajoo.

-- BERNAMA