Bekas pengarah didakwa 41 pertuduhan pindah wang RM16.35 juta

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM10 juta. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Seorang bekas pengarah sebuah syarikat pembuatan didakwa di tiga Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 41 pertuduhan menyebabkan pemindahan wang berjumlah RM16.35 juta sehingga syarikat berkenaan mengalami kerugian.
Tertuduh Choong Lee Aun, 59, mengaku tidak bersalah selepas 15 pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suhaila Haron, 14 pertuduhan di hadapan Hakim Azrol Darus dan 12 pertuduhan di hadapan Hakim Norma Ismail.
Mengikut semua 41 pertuduhan, tertuduh sebagai pengarah sebuah perbadanan tersenarai, iaitu AT Systematization Berhad (kini dikenali sebagai Erdasan Group Berhad), didakwa menyebabkan syarikat itu memindahkan wang RM16.35 juta kepada Delta Million Dynamic Sdn Bhd dan Midas Mode Sdn Bhd dengan niat menyebabkan kerugian secara salah terhadap AT Systematization.
Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bank di Kota Damansara di sini antara 20 Jun 2020 hingga 30 Nov 2021, mengikut Subseksyen 317A(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 [Akta 671] dan boleh dihukum di bawah Subseksyen 317A(3) akta sama.Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan maksimum 10 tahun serta denda tidak melebihi RM10 juta.
Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Suruhanjaya Sekuriti (SC) Shoba Venu Gobal memohon mahkamah mengenakan jaminan RM3 juta dengan enam penjamin warga tempatan bagi semua pertuduhan, mengambil kira keseriusan kes berkenaan yang membabitkan jumlah kerugian besar.
"Selain itu, pihak pendakwaan memohon syarat tambahan iaitu tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai dan melapor diri di Pejabat SC pada setiap bulan," katanya yang mengendalikan kes bersama TPR Hashley Tajudin, Izuddin Mohamad dan Pegawai Pendakwa SC Puteri Maryam Sofia Megat Joha.
Bagaimanapun, peguam tertuduh Nicholas Cheoh memohon jaminan dikurangkan kerana anak guamnya perlu menyara isteri serta dua anak yang masih menuntut di universiti, selain mempunyai masalah kesihatan dan pernah menjalani tiga pembedahan angioplasti.
"Anak guam saya seorang profesional dalam bidang teknologi dan sebelum menyertai syarikat berkenaan, beliau berhasrat untuk bersara. Anak guam saya juga pulang ke Malaysia dari Thailand secara sukarela sebelum ditahan pihak SC," katanya.
Mahkamah kemudian menetapkan sebutan semula kes pada 7 Nov ini dan membenarkan tertuduh diikat jamin RM420,000 dengan enam penjamin warga tempatan bagi semua pertuduhan, serta syarat tambahan dimohon pendakwaan.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami