IPOH:Seorang bekas pengurus kilang di Kawasan Perindustrian Chemor di sini maut dilanggar lori selepas dipercayai menceroboh dan merempuh pejabat tempat kerjanya itu dengan sebuah kereta.

Dalam kejadian kira-kira 6.42 petang Khamis, suspek berusia 52 tahun dipercayai merempuh bangunan kilang dan pejabat sebelum membaling botol berisi petrol menyebabkan kebakaran.

Ketua Polis Daerah Ipoh Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz berkata, suspek didakwa melakukan perbuatan itu kerana tidak berpuas hati selepas digantung kerja akibat masalah disiplin sejak September lalu.

"Pihak bomba memadamkan kebakaran di tempat kejadian dan tiada pekerja yang dilaporkan cedera. Kerugian dianggarkan bernilai kira-kira RM1 juta," katanya ketika dihubungi di sini, malam Khamis.

Beliau berkata suspek kemudian dipercayai berjalan kaki meninggalkan kilang itu sebelum dilangar sebuah lori ketika melintas jalan, kira-kira sejam kemudian.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 427 dan 448 Kanun Keseksaan serta Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.