SANDAKAN: Dua lelaki berusia 37 dan 41 tahun ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, hari ini, berhubung  kes pecah amanah dan salah guna kuasa membabitkan nilai kontrak kira-kira RM63,000.

Mereka masing-masing adalah bekas penjawat awam dan kontraktor, yang dipercayai melakukan kesalahan melibatkan sebuah agensi kerajaan Persekutuan di daerah ini, pada tahun 2018 dan 2019.

Sumber SPRM berkata, bekas penjawat awam terbabit dipercayai menggunakan kedudukannya untuk melantik kontraktor itu sebagai pembekal produk berasaskan lebah dan haiwan ternakan untuk program agensi, yang mana syarikat kontraktor tersebut dimiliki oleh saudaranya.

Menurutnya lagi, bekas penjawat awam dan kontraktor terbabit ditahan semasa hadir di pejabat SPRM Sandakan pagi tadi untuk membantu siasatan.

Sementara itu, Pengarah SPRM Sabah, Datuk S. Karunanithy ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut dan berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan Seksyen 405 Kanun Keseksaan.

Beliau memaklumkan bahawa kedua-dua lelaki tersebut telah dibebaskan atas jaminan SPRM dan dijadualkan untuk dituduh di Mahkamah Khas Rasuah Sandakan pada 21 April ini.