KUANTAN: Seorang bekas Penolong Eksekutif Pembangunan Felcra mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuantan, atas empat pertuduhan memalsukan kira-kira dalam buku akaun milik majikannya, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Hairee Aw Sudin, 43 tahun, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Zamzani Mohd Zain manakala pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwaraya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Siti Sarah Zainal Abidin.

Menurut kertas pertuduhan, Mohd Hairee telah dengan sengaja dan dengan niat hendak menipu, memalsukan kira-kira di dalam buku akaun Impress Tabung Kebajikan Peserta Felcra Berhad, kawasan Anak Endau.

Bapa kepada dua anak itu dituduh melakukan kesalahan tersebut pada Januari hingga April 2018, di pejabat Felcra Berhad, Rompin serta didakwa mengikut seksyen 477A Kanun Keseksaan dan sabit kesalahan boleh dihukum penjara selama sehingga 7 tahun atau denda atau kedua-duanya.

Pada prosiding itu, Timbalan Pendakwaraya SPRM, menawarkan ikat jamin RM20,000 bagi kesemua pertuduhan.

Mohd Haire yang tidak diwakili peguam telah membuat rayuan memohon wang jaminan dikurangkan dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap serta menanggung keluarga termasuk ibu bapa yang uzur, isteri dan dua orang anak kurang upaya.

Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan.

Syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah dan melaporkan diri di Pejabat SPRM pada setiap bulan sehingga kes selesai.

Kes disebut semula 5 Mei depan.