Bekas penolong pegawai Mara hadapi 25 pertuduhan pecah amanah wang bayaran pinjaman

Nor Hasmal Hazwani dibawa ke Mahkamah Sesyen Muar. - Gambar/ Bernama
MUAR: Seorang bekas Penolong Pegawai Majlis Amanah Rakyat (Mara) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas 25 pertuduhan pecah amanah jenayah, melibatkan wang berjumlah RM15,839.66 milik empat individu berkaitan pembayaran pinjaman Mara.
Ringkasan AI
- Nor Hasmal Hazwani Mohd Kamal, bekas Penolong Pegawai Mara, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen atas 25 pertuduhan pecah amanah jenayah, melibatkan RM15,839.66 milik empat individu berkaitan pinjaman Mara.
- Wang yang didepositkan ke akaun miliknya untuk bayar pinjaman Mara dipecah amanah untuk kegunaan sendiri, melibatkan empat individu dengan jumlah wang masing-masing.
- Mahkamah set jaminan RM22,000 serta syarat tambahan bagi Nor Hasmal Hazwani, yang menafikan peguam dengan alasan tidak bekerja dan menanggung suami sakit jantung.
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan wanita tersebut di pejabat Mara daerah Tangkak di sini antara Mac 2021 hingga November 2024, mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun, sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Nur Ameera Allaudeen tidak menawarkan jaminan, namun sekiranya mahkamah menggunakan budi bicara untuk membenarkan jaminan, pihak pendakwaan mencadangkan Nor Hasmal Hazwani diikat jamin RM10,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan pada Isnin minggu pertama.
Wanita itu yang tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah dengan alasan tidak bekerja, baru melahirkan anak serta menanggung suami yang menghidap penyakit jantung.
Hakim Mohd Khairi Haron membenarkan Nor Hasmal Hazwani diikat jamin sebanyak RM22,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin serta syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan dan menetapkan 8 April ini untuk sebutan semula kes.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


