Skip to main content

Malaysia

Lebih 1,300 mangsa banjir di Sabah, Sarawak berlindung di PPS pagi ini

Banjir Sipitang: 195 penduduk berlindung di dua PPS pagi ini - BERNAMA
Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan susulan hujan lebat berterusan sejak semalam. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak mencatatkan peningkatan pagi ini dengan 1,361 orang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) susulan hujan lebat berterusan sejak semalam.

Di SABAH, jumlah mangsa meningkat kepada 1,020 orang daripada 502 keluarga setakat pagi ini, berbanding 445 orang daripada 143 keluarga, malam tadi.

Advertisement

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam kenyataan memaklumkan sebanyak 40 kampung di tiga daerah terjejas dan kesemua mangsa kini berlindung di lima PPS.

Kota Marudu merekodkan jumlah mangsa tertinggi dengan 851 orang daripada 456 keluarga yang melibatkan lapan kampung terjejas, berbanding hanya 398 orang (132 keluarga) malam tadi.

Kesemua mangsa di daerah itu kini berlindung di PPS Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 2 dan SMK Tandek.

Di daerah Paitan, sebanyak 26 kampung terjejas dengan jumlah mangsa meningkat kepada 127 orang (37 keluarga) berbanding 47 orang (11 keluarga) malam tadi dan kesemuanya ditempatkan di PPS Pusat Komuniti Batagon Darat dan PPS Gereja PCS Purubatu.

Sementara itu, di Pitas, sebanyak 42 mangsa daripada sembilan keluarga dari enam kampung dipindahkan ke PPS Dewan Sinukab yang baru dibuka.

Di SARAWAK, jumlah mangsa banjir yang dipindahkan ke dua PPS di Kuching meningkat sedikit kepada 341 orang daripada 91 keluarga setakat 8 pagi ini, berbanding 329 orang daripada 92 keluarga malam tadi.

Menurut JPBN Sarawak, dua PPS yang beroperasi ialah Dewan R-Piang yang menempatkan 116 mangsa daripada 24 keluarga dari Kampung Sinar Budi Baru, manakala Dewan Masyarakat Stapok menempatkan 225 mangsa daripada 67 keluarga dari Kampung Desa Ria.

Dalam pada itu, Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa kawasan di Sarawak merangkumi Sri Aman (Lubok Antu), Betong, Sarikei dan Mukah hingga 12 tengah hari ini.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video