KUALA LUMPUR:Bekas pesakit COVID-19 boleh dipertimbangkan untuk menerima suntikan vaksin sekiranya tiada antibodi dikesan dalam tempoh antara tiga hingga enam bulan selepas pulih.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkara paling penting adalah untuk melihat sekiranya ada jangkitan baharu dikesan terhadap pesakit terbabit.

"Berkaitan dengan (suntikan) vaksin, kita melihat kepada jangkitan pada (pesakit) peringkat 1 dan 2, tindak balas antibodi badan mungkin tidak dapat dikesan selepas tiga bulan.

"Kita melakukan kajian pengawasan terhadap salah sebuah sekolah madrasah.

"Kebanyakan jika ia jangkitan ringan atau tidak bergejala, antibodi tidak dikesan. Jadi bermaksud apabila antibodi tidak dikesan, biasanya kita akan sarankan suntikan vaksin. Tetapi (ada juga)yang mempunyai antibodi walaupun di peringkat teruk iaitu 4 dan 5," katanya.

Beliau bercakap dalam sidang media secara maya pada sesi Libat Urus Darurat COVID-19 Bersama Ketua Pengarah Kesihatan Malaysia Siri 2/2021: Ujian Pengesanan COVId-19 dan Kesiapsiagaan Makmal Kementerian Kesihatan Malaysia, pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas adakah  pesakit COVID-19 perlu diberikan vaksin memandang mereka sudah pun mempunyai antibodi, ataupun antibodi tersebut tidak boleh bertahan dalam tempoh satu hingga tiga bulan atau satu hingga tiga tahun.