PETALING JAYA: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memerintahkan bekas senator, Datuk Daljit Singh, membayar sejumlah RM275,000 kepada Naib Pengerusi Eksekutif Malaysian Resources Corporation Berhad (MRCB), Tan Sri Salim Fateh Din, selepas memutuskan memihak kepada beliau dalam dua saman berasingan.
Hakim Roz Mawar Rozain memerintahkan Daljit membayar RM100,000 sebagai ganti rugi fitnah dan RM75,000 kos guaman selepas mendapati beliau bertanggungjawab terhadap kenyataan berunsur fitnah yang dibuat terhadap Salim.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi pada 30 Julai lalu yang menghalang Daljit daripada mengulangi kenyataan fitnah berkenaan.
Dalam saman yang difailkan pada Jun 2023, Salim mendakwa Daljit telah menuturkan dan menerbitkan kenyataan “Salim menipu saya” kepada peguam Selva Kumar Mookiah dalam Bahasa Melayu pada tahun 2021.
Menurut Salim, Daljit turut menghantar mesej teks berkaitan dirinya kepada peguam berkenaan pada keesokan harinya.
Beliau juga mendakwa bahawa pada April 2023, Daljit mengeluarkan satu lagi kenyataan yang berunsur fitnah dan menghantarnya kepada pengarang urusan sebuah portal berita.
Salim, yang juga Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), berkata kenyataan itu membawa maksud beliau seorang yang tidak boleh dipercayai, penipu, pembohong serta terlibat dalam aktiviti haram dan tidak bermoral.
Menurutnya, kenyataan tersebut telah menjejaskan reputasi dan nama baik beliau.
Dalam tuntutan balas yang dikembalikan semula oleh Mahkamah Rayuan pada 2024, Daljit mendakwa kenyataan berkenaan telah diambil di luar konteks.
Bagaimanapun, Roz Mawar menolak tuntutan balas tersebut selepas mendapati pembelaan berdasarkan justifikasi dan keistimewaan berkelayakan gagal dibuktikan.
Dalam satu lagi saman berasingan yang turut didengar di hadapan hakim sama, Daljit yang merupakan Bendahari Agung Parti Progresif Rakyat (PPP) diperintahkan melunaskan pinjaman tertunggak RM100,000 kepada Salim.
Salim diwakili peguam Dhinesh Bhaskaran, manakala Daljit diwakili Harjinder Singh.