AYER KEROH: Seorang bekas sidang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tuduhan meminta dan menerima rasuah bernilai RM500 bagi menyembunyikan kes pembuangan bahan terlarang di kawasan terbuka, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Zakaria Manap, 60 tahun, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Elesebet Paya Wan.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa meminta rasuah sebanyak RM500 daripada Pengarah Syarikat Ami Ventures Sdn Bhd, Ahmad Mudzafri Idris.

Ia sebagai dorongan supaya tidak melaporkan kesalahan membuang bahan terlarang di kawasan terbuka di Kampung Rembia, Alor Gajah, oleh syarikat berkenaan kepada Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Kesalahan itu didakwa dilakukan di stor syarikat berkenaan di Jalan Rembia Hab 3, Pusat IKS, Rembia pada 20 Jan 2019.

Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, tertuduh didakwa menerima sebanyak dua kali suapan iaitu RM100 dan RM400 daripada pekerja syarikat terbabit, Mohd Khairul Armizan Elias, bagi tujuan berkenaan.

Kesalahan dilakukan di lokasi sama, masing-masing pada 20 dan 21 Jan 2021.

Justeru, bapa kepada lapan anak itu didakwa di bawah Seksyen 16 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda daripada nilai suapan, atau RM10,000, mana yang lebih tinggi.

Terdahulu, pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Nur Syakila Yaacob manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM5,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Hakim Elesebet turut memerintahkan tertuduh menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah selain melapor diri di pejabat SPRM Melaka, sekali setiap bulan.

13 Mei depan ditetapkan sebagai tarikh sebutan semula kes dan lantikan peguam.