Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan Pembentangan Belanjawan 2020 oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng secara keseluruhan tidak mencapai matlamat.

Najib berkata Belanjawan tahun kedua di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) itu tidak akan membawa kegembiraan kepada rakyat.

“Jadi saya tidak lihat bajet ini begitu mengembirakan rakyat sebab kalau kita lihat apa yang akan berlaku tahun hadapan adalah minyak akan naik, harga air akan naik, cukai-cukai lain akan diperkenalkan termasuk cukai digital dan sebagainya.

“Ini bererti tekanan pada harga kos sara hidup akan bertambah dan bantuan kepada penjawat awam pun tidak seperti mana yang telah ditawarkan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN),” katanya ketika kepada pemberita di Lobi Parlimen, pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata beberapa angka yang dibentangkan Guan Eng juga diragui termasuklah jangkaan bahawa kadar inflasi negara pada tahun hadapan dijangka 2 peratus.

“Kalau kita tanya pengguna rata-rata termasuk suri rumah, tiada orang percaya bahawa inflasi 1 peratus tahun ini dan saya tidak yakin tahun depan ia hanya boleh mencecah kadar 2 peratus

“Satu lagi angka yang mengecewakan saya adalah defisit negara yang dijangka 3 peratus pada tahun ini tetapi dinaikkan kepada 3.2 peratus.

“Kalau zaman BN memerintah kita menyasarkan 2.8 peratus dan menjelang 2022 kita akan menjurus kepada bajet seimbang, tidak disebut langsung selepas tahun ini, apa sasaran defisit jangkaan kerajaan PH sebenarnya," katanya.