KUALA LUMPUR:Sejumlah 40,000 pekerja penghantaran (delivery riders) bakal dilindungi di bawah skim jaringan keselamatan sosial, Skim Bencana Pekerjaan PERKESO.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata mereka antara kumpulan 100,000 pekerja yang layak menerima manfaat daripada peruntukan berjumlah RM24 juta.

"Kerajaan menyediakan RM24 juta bagi caruman penuh di bawah Skim Bencana Pekerjaan PERKESO untuk manfaat 100,000 pekerja daripada kumpulan berikut;

"Pertama: Anggota Pasukan Sukarelawan Angkatan Tentera, Sukarelawan Simpanan Polis, Sukarelawan Pertahanan Awam Malaysia dan Sukarelawan Maritim Malaysia;

"Kedua: Guru takmir, imam, bilal, siak, noja, dan merbut;

"Ketiga: Pekerja sektor awam berstatus Contract For Service; dan

"Keempat: Bagi menghargai sumbangan delivery riders yang menjadi barisan sokongan semasa tempoh PKP, inisiatif ini turut dipanjangkan kepada 40,000 orang delivery riders," katanya.

Beliau berkata demikian pada pembentangan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Pada Rabu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan komited untuk menambah baik jaringan keselamatan sosial melibatkan pekerja dalam sektor informal atau ekonomi gig.

Katanya, menerusi Belanjawan 2021, kerajaan akan bekerjasama dengan majikan dan sektor swasta ke arah mewujudkan jaringan keselamatan sosial yang lebih komprehensif kepada para pekerja bidang itu.


PEMBENTANGAN BELANJAWAN 2021