KUALA LUMPUR:Dua akta penting bagi menangani COVID-19 dalam Belanjawan 2021 telah diluluskan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, kedua-dua akta tersebut ialah Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 dan Akta Langkah-Langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019).

Kedua-dua akta berkenaan jelas beliau, telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada Ogos lalu.

Menurut Tengku Zafrul, strategi pertama kerajaan ialah perjuangan untuk memerangi pandemik COVID19 dan melindungi kesihatan awam.

Beliau berkata, Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (COVID-19) 2020 memberi pengecualian atau relief kepada rakyat yang tidak mampu memenuhi obligasi kontraktual seperti pembayaran sewa akibat penularan wabak ini.

Dalam masa sama, beliau berkata, Pusat Mediasi COVID-19 juga ditubuhkan khusus untuk membantu kumpulan B40 dan M40 serta perusahaan mikro yang bertikai berhubung obligasi kontraktual.

Sementara Akta Langkah-langkah Sementara Bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019) pula, kata Tengku Zafrul, membenarkan had statutori hutang Kerajaan dinaikkan sementara sehingga 60 peratus daripada KDNK berbanding 55 peratus.

“Di bawah akta ini, Parlimen telah meluluskan siling peruntukan 45 bilion ringgit bagi Kumpulan Wang COVID-19," kata Tengku Zafrul ketika membentangkan Belanjawan 2021 di Dewan Rakyat pada Jumaat.

Tambah Tengku Zafrul, kerajaan juga bercadang mengemukakan pindaan jadual akta berkaitan siling Kumpulan Wang COVID-19 daripada RM20 bilion kepada RM65 bilion.