KUALA LUMPUR:Peruntukan hampir RM 7.35 bilion bagi sektor pembinaan dan pembangunan dalam Belanjawan 2021 dijangka dapat mengerakkan ekonomi setempat selain memberi manfaat kepada pemaju dan kontraktor tempatan.

Menteri Kanan Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof, berkata peruntukan itu membabitkan RM 6.088 bilion bagi Bajet Pembangunan dan RM1.26 bilion (pengurusan).

"Sektor pembinaan memainkan peranan utama untuk mengerakkan ekonomi termasuk menyediakan kemudahan infrastruktur lebih baik.

"Fokus kita pembangunan infrastruktur di samping sektor pembinaan. Bisnes utama seperti membuat jalan raya, menyelenggara bangunan kerajaan dan juga segala cerun dan infrastruktur.

"Sebanyak RM420 juta di bawah syarikat konsesi dan ada tambahan RM200 juta khususkan untuk kontraktor kecil kelas G1 sehingga G4. Maknanya perniagaan jalan kita dapat RM620 juta," katanya dalam Wawancara Belanjawan 2021 bersama Menteri Kanan Kerja Raya di ibu negara pada Rabu.

Beliau berkata, dalam perkembangan berkaitan, ramai yang keliru mengenai peruntukan Sistem Maklumat Rekod-rekod Jalan Raya Malaysia (MARRIS) sebanyak RM50 juta.

"MARRIS ini orang ingatkan dibawah kendalian KKR (Kementerian Kerja Raya), MARRIS adalah peruntukan kerajaan Persekutuan disalurkan terus kepada kerajan negeri untuk menyelenggara jalan negeri," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, antara projek baharu yang akan dilaksanakan adalah Projek Pembinaan Jambatan Klang Ke-3 Fasa 2 di Selangor; Projek Central Spine Road dari Bentong ke Kelantan; menaik taraf jambatan merentasi Sungai Marang, Terengganu bagi laluan Jalan Kuala Terengganu ke Kuantan.

Menaik taraf Jalan Persekutuan menghubungkan Gerik, Perak ke Kupang, Lunas dan Kulim, Kedah; membina dan menaik taraf lingkaran Pulau Indah, Klang Fasa 3; Projek Jalan Pintasan Cameron Highlands, Pahang dengan penekanan langkah pemuliharaan alam sekitar.

"Lebuh Raya Pan Borneo Sarawak dan Sabah... Pakej Serusop ke Pituru yang merupakan 'missing link' sepanjang 21 kilometer akan diteruskan sebagai projek tambahan... kita  dapat RM1 bilion Sabah dan RM1 bilion Sarawak," katanya.

Beliau berkata, pelepasan cukai bagi penggunaan sistem binaan berindustri (IBS) akan disambung selama lima tahun bagi mengurangkan kebergantungan pekerja kurang mahir khususnya pekerja asing.

Bagi pembangunan luar bandar pula, Fadillah berkata, kerajaan menyediakan peruntukan sebanyak RM 2.7 bilion bagi meningkatkan dan menambah baik kemudahan luar bandar dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar.

"Saya juga kebetulan menjaga hal ehwal infra, di bawah infra kita ada Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

"Kalau melihat luar bandar sahaja... peruntukan RM 2.7 bilion ini untuk luar bandar, ini akan dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri.

"Sudah tentu... RM 2.7 billion cukup? Memang tidak cukup, tetapi kita akan menambah baik kemudahan luar bandar, jalan kampung termasuk kemudahan api dan air, itu akan dilaksanakan Kementerian Pembangunan Luar Bandar," katanya.