Kapten Izham rakam penghargaan pada taklimat media terakhir, yakin kepimpinan baharu MAG

Kapten Izham memulakan kerjayanya bersama Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan meningkat naik memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan kumpulan pada 1 Dis, 2017. --fotoBERNAMA
KUALA LUMPUR: Pengarah Urusan Malaysia Aviation Group (MAG) yang bakal bersara, Datuk Kapten Izham Ismail pada Isnin mengadakan taklimat rasmi terakhirnya bersama media, sekali gus menutup satu lembaran perjalanan lebih empat dekad beliau bersama syarikat penerbangan negara itu.
Ringkasan AI
- Datuk Kapten Izham Ismail mengadakan taklimat rasmi terakhir bersama media sebelum bersara, menutup lembaran perjalanan empat dekad bersama Malaysia Aviation Group (MAG).
- Kapten Izham mengucapkan terima kasih kepada media atas sokongan mereka dalam transformasi MAG, menekankan kepentingan pembangunan insan dalam organisasi sebagai kejayaan utama baginya.
- Penggantinya, Kapten Nasaruddin A. Bakar, dipercayai akan membawa MAG ke tahap yang lebih baik di bawah Pelan Perniagaan 3.0 dengan falsafah kepemimpinan yang menekankan kepelbagaian dan komitmen kepada hospitaliti Malaysia.
"Ini merupakan penglibatan terakhir saya bersama media, dan saya ingin mengucapkan terima kasih dari lubuk hati saya. Anda semua bersama kami ketika waktu senang dan juga ketika saat-saat paling sukar," katanya.
Pada beberapa detik sepanjang sesi berkenaan, Kapten Izham dilihat menahan sebak ketika mengimbau tempoh kepimpinannya, dengan menyifatkan bahawa kejayaan yang paling bermakna baginya bukanlah angka atau keuntungan, tetapi pembangunan insan dalam organisasi.
"Saya berbangga kerana berjaya membangunkan barisan kepimpinan yang kukuh, bukan sahaja dalam pengurusan tertinggi syarikat, malah merangkumi keseluruhan organisasi," katanya.
Beliau berkata proses perancangan penggantian kepimpinan dilaksanakan secara teliti dan ada ketikanya ia agak sukar, namun perlu dilakukan bagi memastikan kelestarian MAG melangkaui mana-mana individu.
"Tugas saya telah selesai. Kini terpulang kepada mereka untuk membawa organisasi ini ke tahap yang lebih baik," katanya.
Kapten Izham pada masa sama turut menyatakan keyakinan penuh terhadap penggantinya, Kapten Nasaruddin A. Bakar serta pasukan kepimpinan sedia ada, sambil menegaskan bahawa MAG kini berada dalam "tangan yang sangat baik" ketika memulakan fasa pertumbuhan seterusnya di bawah Pelan Perniagaan 3.0.
MAG telah melantik Kapten Nasaruddin sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) kumpulan berkuat kuasa 1 Feb, 2026, satu penjenamaan semula jawatan yang menggantikan peranan Pengarah Urusan kumpulan sebelum ini. Kapten Izham akan bersara pada 31 Jan, 2026.
Selain pemulihan operasi dan pencapaian keuntungan, Kapten Izham berkata falsafah kepimpinan Nasaruddin telah berkembang dengan penekanan kepada kepelbagaian, kerendahan hati dan komitmen untuk berkhidmat, yang disifatkannya penting dalam melaksanakan hospitaliti Malaysia yang tulen serta membina organisasi yang berdaya tahan.
Tegas beliau, kepimpinan bukan lagi soal kelangsungan hidup, malah ia mengenai pembinaan negara, berkhidmat kepada 14,000 warga kerja dan membolehkan mereka menyampaikan hasil yang diharapkan.
Ditanya mengenai perancangan selepas persaraan, kapten veteran syarikat penerbangan negara itu berkata beliau belum mempunyai sebarang perancangan khusus.
Kapten Izham memulakan kerjayanya bersama Malaysia Airlines sebagai juruterbang pada 1979 dan meningkat naik memegang pelbagai jawatan kepimpinan utama sebelum dilantik sebagai Pengarah Urusan kumpulan pada 1 Dis, 2017, sekali gus menjadikannya Ketua Eksekutif paling lama berkhidmat dalam sejarah syarikat itu.
Pada 1997, beliau mencipta rekod dunia penerbangan apabila menerbangkan pesawat pertama Malaysia Airlines jenis B777-200 dari Seattle ke Kuala Lumpur dan kembali semula ke Seattle.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


