KUALA LUMPUR: Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) akan memberi penekanan kepada penglibatan pekerja tempatan bagi mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing dalam sektor perladangan, kata Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri KPK Datuk Seri Fadillah Yusof.

Beliau berkata syarikat besar diharap akan mencontohi inisiatif yang dilaksanakan oleh Sime Darby Plantation Bhd dalam menggaji pekerja tempatan untuk menguruskan ladang.

"Kita harap syarikat besar akan mencontohi (Sime Darby) supaya dapat menggalakkan pekerja tempatan dalam sektor perladangan dan mengurangkan kebergantungan kita kepada pekerja asing.

"Ini menjadi antara fokus kementerian supaya dapat meningkatkan produktiviti, hasilan dan eksport negara," katanya pada sidang media selepas pembentangan Belanjawan 2023 di Dewan Rakyat hari ini.

Mengulas mengenai peruntukan belanjawan tahun ini, Fadillah berkata kementerian menyambut baik komitmen kerajaan, khususnya untuk kesejahteraan dan kemakmuran rakyat serta agenda pertumbuhan ekonomi negara.

Katanya KPK komited untuk memastikan sumbangan industri komoditi meningkatkan pendapatan kepada keluaran dalam negara kasar.

Dalam pembentangan Belanjawan 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan peruntukan sebanyak RM80 juta bagi menambah baik kelestarian industri sawit dan mempergiat kempen menangani anti minyak sawit, serta menyediakan geran sepadan sebanyak RM50 juta untuk menggalakkan automasi sektor perladangan melalui penggunaan robotik dan kecerdasan buatan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan menyediakan peruntukan berjumlah RM350 juta untuk mengawal Paras Harga Pengaktifan Insentif Pengeluaran Getah yang dinaikkan daripada RM2.50 sen kepada RM2.70 sen sekilogram.

Bagi meningkatkan permintaan getah sekali gus menambah pendapatan pekebun kecil, kerajaan juga akan menyediakan RM50 juta untuk menggunakan Bitumen Terubah Suai Getah Bekuan (CMB) bagi penyelenggaraan jalan.

-- BERNAMA