KUALA LUMPUR: Belanjawan 2023 yang diumumkan Kerajaan Perpaduan disifatkan sebagai belanjawan ke arah keseimbangan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, peruntukan yang disalurkan kerajaan juga mengurangkan jurang pendapatan dan perbelanjaan daripada 5.6 peratus kepada 5 peratus.

"Kita melihat bahawa pada keseluruhan belanjawan ini memperlihatkan keprihatinan Kerajaan Perpaduan biarpun pilihan raya telah berlalu.

"Namun, kumpulan-kumpulan sasaran bukan hanya memberikan peluang yang sama rata tetapi keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap rakyat pelbagai kelompok," katanya dalam sidang media di Lobi Parlimen, di sini, pada Jumaat.


Ikuti pembentangan Belanjawan 2023 di sini

Sementara itu, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah berkata, peruntukan kementerian itu yang meningkat sebanyak RM500 juta berbanding tahun sebelumnya menunjukkan komitmen kerajaan dalam membantu masyarakat desa.

Jelas beliau, ia memberi ruang kepada kementerian untuk menyantuni masalah pelbagai kelompok masyarakat luar bandar, selain tidak meminggirkan kumpulan M40.

"Permasalahan penoreh getah di mana harga lantai siling dipertingkatkan daripada RM2.50 kepada RM2.70 dan bantuan musim tengkujuh ditingkatkan daripada RM600 kepada RM800.

"Tentunya jumlah keseluruhan daripada peruntukan itu turut meliputi pendidikan pra sekolah, dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang berada di bawah kementerian.

"Selain itu, projek prasarana dengan peruntukan sebanyak RM11 bilion ini merupakan keprihatinan kepada masyarakat luar bandar dan keseluruhan kumpulan M40 juga telah disantuni," jelas beliau lagi.

Ahmad Zahid menambah, kadar penurunan cukai pendapatan individu yang dikurangkan sebanyak dua peratus pula memberi manfaat kepada kumpulan M40..

"Kalau kita lihat dalam aspek keterjaminan makanan, didapati pendekatan di luar kota silo dilakukan bagi pengeluaran makanan," ujarnya.

Pada pembentangan Belanjawan 2023 hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan, kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak dua peratus melibatkan setiap banjaran pendapatan lebih RM35,000 hingga RM100,000.

Pengurangan itu dijangka dapat memberikan kira-kira 2.4 juta pembayar cukai dengan lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,300.