KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 Malaysia MADANI yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam disifatkan sebagai amat komprehensif dengan semua segmen masyarakat diambil kira, tidak terkecuali pembangunan ekonomi dan infrastruktur di negeri.

Di PULAU PINANG, kerajaan negeri menyambut baik inisiatif dan perancangan diumumkan Perdana Menteri yang menyaksikan negeri berkenaan turut diberi keutamaan dalam radar pembangunan negara.

Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata antara yang menjadi perhatian adalah cadangan pemberian galakan cukai pelaburan semula secara 'tiering' dalam bentuk elaun cukai pelaburan sebanyak 70 atau 100 peratus dengan dasar 'trickle-down economics' itu berpotensi mendorong pelabur meningkatkan pelaburan modal masing-masing.

"Selain peningkatan terhadap produktiviti komoditi, pengenalan dasar itu juga secara tidak langsung akan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan sekali gus merancakkan lagi kitaran ekonomi negeri," katanya dalam satu kenyataan.

Anwar yang juga Menteri Kewangan semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat dilaporkan berkata pendekatan insentif berasaskan keberhasilan ialah satu dimensi baharu yang menggunakan sistem 'tiering' dalam pemberian insentif.

Katanya pendekatan itu antara lain akan merancakkan syarikat untuk menjana ekonomi melalui pelaburan dalam bidang berpertumbuhan dan bernilai tinggi seterusnya mewujudkan kluster ekonomi baharu, memperluaskan rangkaian domestik serta mengimbangi kelestarian ekonomi dan alam sekitar.

Dalam pada itu, Chow berharap projek pembinaan Aliran Transit Ringan (LRT) yang diumumkan Perdana Menteri akan dilaksanakan di Pulau Pinang, dapat direalisasikan dan disegerakan seiring hasrat kerajaan negeri dalam memperkasakan sistem perkhidmatan pengangkutan awam berasaskan rel di Pulau Mutiara itu.

Beliau yakin pembinaan LRT yang dianggarkan bernilai RM10 bilion itu bukan sahaja berupaya menyumbang kepada peningkatan pembentukan modal tetap kasar, malah ia juga mampu meningkatkan lagi kualiti hidup termasuk mengurangkan kepadatan aliran trafik pada waktu puncak.

Projek LRT menghubungkan pulau dengan Seberang Perai itu akan dilaksanakan mengikut kaedah kerjasama awam swasta (PPP).

Januari lepas, Chow dilaporkan berkata kerajaan negeri sedang menunggu untuk membincangkan cadangan hubungan LRT George Town-Butterworth dengan Anwar dan Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Di KEDAH, Menteri Besar Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata kerajaan negeri menghargai langkah kerajaan Persekutuan menaikkan harga lantai belian padi oleh pengilang daripada RM1,200 per tan metrik kepada RM1,300 per tan metrik.

Beliau berkata langkah itu dapat memberi sedikit kelegaan kepada golongan petani terutama di Kedah.

"Kerajaan negeri juga mengalu-alukan pengumuman kerajaan Persekutuan untuk memulakan projek tanaman padi lima kali dalam tempoh dua tahun termasuk di Kota Sarang Semut, Kedah.

"Terima kasih juga atas cadangan pembangunan blok baharu pendidikan khas di Sekolah Menengah Kebangsaan Kubang Rotan selain Program Transformasi Bas Henti-Henti di daerah Kota Setar," katanya dalam satu kenyataan.

Dalam pada itu, sebagai Pengerusi PASRelief, Muhammad Sanusi juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas keprihatinan kerajaan Persekutuan menyumbang dana RM10 juta bagi membantu rakyat Palestin akibat kekejaman rejim Zionis Israel.

Terdahulu, Anwar membentangkan Belanjawan 2024 bertemakan 'Reformasi Ekonomi Memperkasa Rakyat' berjumlah RM393.8 bilion iaitu paling tinggi dalam sejarah belanjawan negara, dengan RM303.8 bilion untuk belanja mengurus, RM90 bilion bagi belanja pembangunan dan RM2 bilion simpanan luar jangka.

-- BERNAMA