KUALA LUMPUR: Kenaikan pangkat dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) bukan sekadar pengiktirafan terhadap prestasi anggota dan pegawai, sebaliknya merupakan amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan serta tanggungjawab.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata pelantikan dan pertukaran pegawai kanan adalah sebahagian daripada proses penting bagi memastikan kelangsungan operasi serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan pasukan polis.
Beliau berkata proses pertukaran dan penggantian pegawai adalah penting bagi memastikan kelangsungan tugas serta keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
“Kita akan terus memastikan perkhidmatan cemerlang yang diberikan PDRM kepada masyarakat dapat dikekalkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas Pegawai Kanan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur di sini, hari ini.
Antara yang terlibat ialah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah KL dan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik KL, selain Ketua Polis Daerah Dang Wangi dan Sentul.
Mengulas lanjut, Fadil berkata, setiap pegawai yang menerima kenaikan pangkat perlu memahami bahawa tanggungjawab yang menanti adalah lebih besar berbanding sebelumnya.
“Kenaikan pangkat dalam polis bukanlah satu perkara yang mudah, tetapi satu amanah yang perlu dipikul dengan penuh keikhlasan,” katanya.