Skip to main content

Malaysia

Jenazah Cik Man selamat dikebumikan di Tanah Merah

https://www.sinarharian.com.my/article/790978/berita/hiburan/jenazah-cik-man-selamat-dikebumikan-di-tanah-merah
Jenazah Cik Man selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima di Gual Ipoh di sini pada Khamis.
Advertisement

TANAH MERAH: Jenazah pelakon veteran, Kamarool Yusoff atau lebih dikenali sebagai Cik Man selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gual Petai Lima di Gual Ipoh di sini pada Khamis.

Urusan pengebumian Allahyarham berlangsung dalam suasana hiba dan dihadiri kira-kira 500 ahli keluarga, saudara-mara, kenalan rapat, rakan artis serta pempengaruh tempatan.

Antara artis yang hadir ialah Amir Raja Lawak, Atu Zero dan Mamak Puteh.

Turut hadir memberi penghormatan terakhir ialah Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud bersama isteri, Datin Wan Norhanita Wan Yaakob.

Jenazah Allahyarham selesai dikebumikan pada jam 11.50 pagi bersebelahan pusara ibunya, Allahyarham Zainab Abdullah.

Allahyarham Cik Man, 68, menghembuskan nafas terakhir kira-kira jam 5 petang Rabu ketika menerima rawatan di Unit Kecemasan, Hospital Tanah Merah.

Isterinya, Norliza Mohd Aduni, 49, berkata, dia sebelum itu mengadu keletihan sejak dua hingga tiga minggu lalu selain mengalami masalah gastrik manakala penyakit jantung yang dihidapinya sejak dua tahun lepas masih terkawal.

Katanya, pada Selasa, Cik Man sempat menjalani penggambaran menjual minyak angin di Machang sekitar jam 9 pagi.

“Dia dah balik rumah terlebih dahulu, lepas tu waktu Maghrib dia mengadu sakit gastrik dan pada jam 11 malam saya sendiri membawanya ke hospital kerana dia mula sesak nafas.

“Doktor kemudian memberikan oksigen dan ubat sebelum dia ditidurkan kerana keadaan jantung tidak stabil tapi petang tu (Rabu) dah makin lemah sebelum meninggal dunia di sisi saya,” katanya ketika ditemui di rumah mereka di Gual Ipoh di sini pada Khamis.

Norliza berkata, suaminya itu sudah lama menolak beberapa tawaran berlakon yang memerlukan penggambaran panjang di Kuala Lumpur tetapi aktif melakukan kerja di negeri kelahiran.

Katanya, semasa hayat Allahyarham dikenali sebagai seorang yang sangat pemurah dan tidak pernah berkira membantu orang lain.

“Kalau makan di kedai, dia bayar untuk semua orang, dengan keluarga pun dia tak pernah berkira dan sentiasa melayan saya dengan baik.

“Dia memang seorang yang kelakar, tetapi dalam masa sama tegas dengan caranya yang lembut,” katanya.

Menurut Norliza, mereka mendirikan rumah tangga sejak 30 tahun lalu selepas berkenalan ketika dia menyaksikan penggambaran sebuah drama dilakonkan Cik Man di Gual Periuk, Rantau Panjang.

Hasil perkahwinan itu mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Nur Najihah Kamarozaman, 27, dan Ahmad Fakrul Alif, 23, selain mempunyai seorang cucu berusia dua bulan setengah.

Tambahnya, antara ungkapan yang sering diucapkan Cik Man ialah “jumpa di syurga” dan menjadi tag line pelakon itu.

Cik Man mula menceburi bidang lakonan sejak berusia 19 tahun dengan melakukan kemunculan sulung membawakan watak Farouk dalam filem Gila-Gila Remaja.

Panggilan Farouk yang dahulunya sinonim dalam kalangan peminat era 1980-an kini sudah bertukar kepada Cik Man, nama wataknya dalam filem Rock Oo arahan Allahyarham Mamat Khalid.

Sepanjang lebih empat dekad bergiat aktif dalam dunia lakonan, Allahyarham dikenali menerusi gaya lakonan yang bersahaja, penuh jiwa serta sinonim dengan loghat Kelantan yang menjadi identiti beliau. - Sinar Harian

 

 

Must Watch Video

Advertisement