KUALA LUMPUR: Peruntukan besar RM10 juta yang julung kali disediakan di bawah Kumpulan Wang Amanah Rakyat Malaysia Luar Negeri penting bagi membela nasib rakyat Malaysia yang menjadi mangsa sindiket penipuan di luar negara.

Kementerian Luar berkata, dengan peruntukan di Belanjawan 2024 itu, pihaknya tekad untuk terus mengukuhkan penyampaian perkhidmatan konsular kepada rakyat Malaysia, termasuk meningkatkan penggunaan aplikasi digital dan teknologi ICT.

"Ini termasuk memperluaskan pemberian bantuan kemanusiaan kepada rakyat Malaysia yang ditimpa musibah atau terkandas di luar negara.

"Selain itu, belanjawan ini membolehkan Wisma Putra mempromosikan keamanan serantau, mengangkat isu antarabangsa yang berkepentingan dan memperluaskan peranan dan pengaruh Malaysia melalui penglibatan aktif di platform antarabangsa.

"Dalam hal ini, Kementerian Luar menyokong penuh hasrat Belanjawan 2024 untuk meningkatkan semula kedudukan dan martabat Malaysia di persada antarabangsa," katanya.

Secara keseluruhannya, Kementerian Luar diperuntukkan RM1.127 bilion bagi 2024, berbanding RM971.1 juta pada 2023.

Daripada jumlah tersebut, RM916.9 juta merupakan Belanja Mengurus, iaitu peningkatan sebanyak 13.25 peratus, berbanding tahun sebelumnya.

Peruntukan Belanja Pembangunan pula adalah sebanyak RM209.8 juta, peningkatan sebanyak 29.86 peratus, berbanding 2023.

Wisma Putra berkata, peruntukan 2024 juga akan dimanfaatkan bagi menaik taraf infrastruktur di kementerian dan perwakilan-perwakilan Malaysia di luar negara, menambah baik kebajikan penjawat awam dan memperkasakan modal insan Kementerian Luar.

"Sehubungan itu, Wisma Putra merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan di atas peruntukan yang disalurkan kepada kementerian," ujarnya.