KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain menegaskan akan memastikan segala insentif Belanjawan 2024 yang diperuntukkan kepada pasukan keselamatan itu dimanfaatkan sepenuhnya dengan tata kelola kewangan terbaik, demi memelihara ketenteraman dan keamanan negara.

Ujarnya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata keloka yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

"Jadi PDRM ingin mengucapkan ucapan penghargaan kepada kerajaan atas peruntukan dan insentif yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Razarudin turut menegaskan PDRM kekal komited dengan fokus menyampaikan perkhidmatan bertunjangkan integriti dan tata kelola yang baik serta mendukung dasar-dasar kerajaan ke arah kesejahteraan masyarakat.

Terdahulu, ketika membentangkan Belanjawan 2023, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan mengumumkan peruntukan untuk sektor keselamatan RM19 bilion kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang turut meliputi PDRM bagi terus memperkukuh ketenteraman awam dan menjamin keamanan serta keselamatan negara.

Selain itu, RM20 juta turut diperuntukkan kepada National Scam Response Centre (NSRC) berbanding RM10 juta tahun lalu, bagi meningkatkan fungsinya dalam membanteras jenayah scam.

NSRC ditubuhkan bagi membantu mangsa penipuan siber agar bertindak segera daripada terus menanggung kerugian akibat pengeluaran wang tanpa sekatan.

Selain PDRM, NSRC turut menggabungkan kerjasama Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) dan National Anti-Finacial Crime Centre (NFCC).

Perdana Menteri turut mengumumkan penggantian aset lama dengan tujuh pesawat kapal terbang enjin berkembar dan lima helikopter ringan PDRM bagi memperkukuh tahap kesiapsiagaan pertahanan dan keselamatan negara.

Turut diumumkan, RM2.4 bilion bagi membina, menyelenggara dan membaik pulih kuarters penjawat awam termasuk yang diduduki warga PDRM, serta peruntukan RM5 juta bagi menambah bilangan anjing pengesan K9 untuk polis, bomba dan kastam.

Anwar turut mengumumkan pemberian ganjaran untuk agensi penguat kuasa yang menunjukkan komitmen berterusan dan prestasi cemerlang.