KUALA LUMPUR: Belanjawan 2024 Malaysia MADANI menyediakan RM2.6 bilion bagi menyalurkan pelbagai bentuk subsidi dan insentif kepada pesawah dan nelayan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peruntukan itu meningkat RM600 juta berbanding tahun ini selaras dengan keputusan kerajaan menaikkan kadar Skim Subsidi Harga Padi daripada RM360 kepada RM500 per metrik tan.

Ketika membentangkan Belanjawan MADANI kedua di Dewan Rakyat itu, Anwar berkata kerajaan juga memutuskan untuk meningkatkan harga lantai belian padi daripada RM1,200 kepada RM1,300 per metrik tan, demi membantu pendapatan pesawah.

Selain itu, beliau berkata kerajaan telah memulakan usaha rintis penanaman padi lima musim dalam tempoh dua tahun di beberapa kawasan jelapang antaranya di Bota Kiri, Perak; Kangar, Perlis dan Kota Sarang Semut, Kedah.

"Ini selari dengan usaha untuk menaik taraf infrastruktur pengairan di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) Perlis dan Kedah bagi meningkatkan pengeluaran padi dengan pelaburan bernilai RM3 bilion.

"Kerajaan juga bersetuju untuk meningkatkan peruntukan subsidi padi bukit atau padi huma daripada RM40 juta kepada RM50 juta," katanya.

Bagi manfaat nelayan, Anwar berkata kerajaan terus mengekalkan subsidi diesel pada harga terendah iaitu RM1.65 sen seliter kepada nelayan kelas tertentu dengan kuota 840 juta liter setahun.

"Nelayan juga diberikan elaun sara hidup sehingga RM300 sebulan dan Insentif Hasil Tangkapan Nelayan sehingga RM1,000 sebulan. Kerajaan juga menyediakan RM10 juta untuk tujuan membina baharu dan baik pulih rumah nelayan yang uzur," katanya.

Anwar berkata Kerajaan Perpaduan menyediakan sebanyak RM400 juta bagi melaksanakan Program Pengukuhan Keterjaminan Makanan dengan tumpuan khusus pada meningkatkan pengeluaran tanaman makanan tempatan yang masih bergantung kepada import.

"Antaranya, RM150 juta untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam mengoptimum penggunaan tanah bagi meningkatkan hasil tanaman dan ternakan.

"RM50 juta bagi melaksanakan kaedah baharu perolehan baja secara tender terbuka untuk memberi pesawah pilihan baja yang ingin digunakan," katanya.

Bagi menyokong peningkatan kapasiti pengeluaran produk pertanian dan daya saing agroprenuer muda, beliau berkata Agrobank menyediakan kemudahan pinjaman kepada pengusaha agromakanan dengan ketersediaan dana hingga RM430 juta.

Selain itu, Perdana Menteri berkata kerajaan akan melindungi petani, penternak dan nelayan yang berdepan musibah sehingga memusnahkan hasil tanaman dan ternakan dengan peruntukan RM50 juta di bawah Tabung Bencana Pertanian, bagi pampasan hingga 50 peratus daripada nilai kerugian.

Anwar berkata RM50 juta turut disediakan sebagai dana permulaan di bawah Skim Takaful Tanaman Padi untuk manfaat lebih 240,000 pesawah.

-- BERNAMA