Belanjawan 2026 berpaksikan rakyat - Ramanan

Ramanan bergambar kenangan bersama penerima bakul makanan pada Majlis Perasmian JMKU sempena sambutan Deepavali 2025 di Dewan Serbaguna Seksyen 7, Kota Damansara, hari ini. - Gambar Bernama
PETALING JAYA: Belanjawan 2026 disifatkan sebagai belanjawan berpaksikan rakyat yang mencerminkan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkasa pembangunan inklusif dan menyeluruh, kata Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri R. Ramanan.
Beliau berkata, perkara itu turut melibatkan pelbagai inisiatif di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) khususnya untuk komuniti India, susulan peningkatan peruntukan pembangunan kementerian bagi pelaksanaan program keusahawanan dan sosial.
"Kita lihat MITRA, TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) menerima peruntukan berjumlah RM220 juta. Namun, kita tidak boleh menilai dari segi angka bajet semata-mata. Contohnya, Kementerian Pendidikan mendapat peruntukan RM66 bilion yang turut merangkumi Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil dan Cina.
"Selain itu, sebanyak RM90 juta turut disediakan bagi penambahbaikan kampung baru Cina dan kampung India. Ini menunjukkan kerajaan MADANI tidak meminggirkan mana-mana kaum atau warga, semua dijaga," katanya.Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Jualan MADANI Koperasi dan Usahawan (JMKU) sempena Deepavali 2025 di sini hari ini.
Ramanan berkata, KUSKOP memperuntukkan hampir RM500 juta pada tahun ini untuk melaksanakan pelbagai program keusahawanan yang menumpukan kepada pengukuhan ekonomi masyarakat India, termasuk program AIM (RM100 juta), program Brief-i di bawah Bank Rakyat (RM100 juta) dan Program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) (RM100 juta).
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat berkata, masyarakat India turut mendapat manfaat daripada program sosioekonomi di bawah Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA), Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional serta AIM berjumlah RM220 juta.
Sementara itu, Ramanan menzahirkan penghargaan terhadap keprihatinan Perdana Menteri membantu rakyat menjelang Deepavali, termasuk pemberian Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berjumlah RM2 bilion mulai 18 Okt, serta diskaun tol 50 peratus selama dua hari bagi memudahkan perjalanan pulang ke kampung.
Mengenai pembangunan di Sungai Buloh, beliau berkata kerajaan telah meluluskan projek tebatan banjir fasa kedua Sungai Buloh dengan peruntukan RM700 juta, susulan kelulusan fasa pertama bernilai RM250 juta tahun lepas.
"Projek ini akan memberi manfaat besar kepada penduduk kerana Sungai Buloh sering dilanda banjir kilat yang menjejaskan hampir 2,000 mangsa sebelum ini. Saya yakin pelaksanaan fasa kedua akan mengurangkan risiko banjir secara ketara selepas siap kelak," katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa dua sekolah baharu akan dibina di kawasan itu seperti diumumkan dalam Belanjawan 2026, iaitu di Eco Grandeur serta sebuah sekolah pendidikan khas di Kota Damansara.
Program JMKU anjuran Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) diadakan serentak di Paya Jaras dengan penyertaan pelbagai koperasi yang menawarkan barangan keperluan asas seperti beras, gula, minyak masak, telur, barangan basah serta makanan ringan seperti muruku dan kerepek dengan potongan harga sehingga 50 peratus.
Antara koperasi terlibat ialah Koperasi Jabatan Penjara Malaysia Berhad, Koperasi Pengguna Rezza Selangor Berhad, Koperasi Keluarga Ibu Azmi Selangor Berhad, Koperasi Marutham Selangor Berhad dan Koperasi Pembangunan Daerah Petaling Berhad.
Pada majlis sama, Ramanan turut menyerahkan sumbangan bakul makanan daripada SKM kepada 50 penerima komuniti Kota Damansara yang bakal menyambut Deepavali pada 20 Okt ini.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami