Belanjawan 2026: Kerajaan mampu beri lebih manfaat hasil tatakelola baik - PM

Anwar menyampaikan ucapan pada Majlis Perjumpaan Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri bagi Bulan Oktober di Puspanitapuri, Putrajaya, hari ini. --fotoBERNAMA
PUTRAJAYA: Kerajaan mempunyai keupayaan untuk memberi lebih banyak manfaat kepada rakyat melalui Belanjawan 2026 tanpa perlu menaikkan cukai hasil penjimatan daripada tatakelola yang baik serta usaha memerangi ketirisan sejak dua tahun kebelakangan ini.
Ringkasan AI
- Kerajaan komited menambah manfaat rakyat tanpa naikkan cukai, hasil penjimatan melalui tatakelola baik dan pengurangan ketirisan sejak dua tahun lalu.
- Anwar Ibrahim tekankan kecekapan pentadbiran sebagai asas Belanjawan 2026, dengan potensi penjimatan RM100 bilion dalam 10 tahun untuk pembangunan pendidikan dan kesihatan.
- Belanjawan 2026 berjumlah RM470 bilion diumumkan, mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah ketidaktentuan global.
"Kita harus fikir soal kerja kita dan sistem kita warisi yang sekarang ini kita tadbir... adakah ia cekap, dapat kawal ketirisan, kawal rasuah atau penyeludupan?" katanya pada perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri di sini hari ini.
Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa, Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz.
Anwar berkata jika kerajaan meneruskan momentum dalam mengurangkan perbelanjaan sekurang-kurangnya RM10 bilion setahun, penjimatan boleh mencecah hingga RM100 bilion dalam tempoh 10 tahun, yang boleh digunakan untuk membangunkan universiti serta menyediakan sistem kesihatan dan pendidikan lebih baik.
"Dalam masa dua tahun, kita (Kerajaan MADANI) selamatkan RM15.5 bilion... itu yang dapat dikesan, bayangkan yang tidak dikesan... jadi, kalau RM100 bilion dalam 10 tahun yang kita dapat ini... bayangkan universiti, pendidikan, klinik, sekolah dan kemudahan untuk anak-anak kita.
"Begitu banyak kemudahan dan kemungkinan untuk naik martabat negara kita sebagai negara yang betul kuat dan hebat," katanya.
Jumaat lepas, Perdana Menteri mengumumkan Belanjawan 2026 yang mengumpulkan sumber berjumlah RM470 bilion dengan mengutamakan daya tahan ekonomi dan sokongan kepada perniagaan kecil di tengah-tengah ketidaktentuan global yang berterusan.
Belanjawan 2026 bertemakan Belanjawan MADANI Keempat: Belanjawan Rakyat mengumpulkan dan mengoptimum sumber negara termasuk dana GLIC (syarikat pelaburan berkaitan kerajaan), badan berkanun Persekutuan serta syarikat MKD (Menteri Kewangan (Diperbadankan)) melalui perbelanjaan awam berjumlah RM470 bilion berbanding RM452 bilion tahun lepas.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan, berkata angka itu meliputi RM338.2 bilion belanja mengurus Persekutuan, RM81 bilion belanja pembangunan Persekutuan, RM30 bilion pelaburan GLIC, RM10 bilion pelaburan awam-swasta, dan RM10.8 bilion pelaburan badan berkanun Persekutuan serta syarikat MKD.
-- BERNAMA

Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami