Ringkasan AI
- Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 dan kadar cukai individu dikurangkan dalam Belanjawan 2027.
- Pelepasan cukai diperluas meliputi rawatan perubatan, pendidikan, sukan, gaya hidup, serta langganan AI dan penjagaan haiwan peliharaan angkat.
- Kadar cukai individu berpendapatan melebihi RM1 juta diselaraskan kepada 30 peratus, manakala lima juta pembayar cukai dijangka menerima lebihan pendapatan boleh guna.
KUALA LUMPUR: Had pelepasan cukai individu dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000 menerusi Belanjawan 2027, selepas kali terakhir disemak pada 2010.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah itu bersama pengurangan kadar cukai pendapatan individu dijangka memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai.
"Had pelepasan cukai individu yang tidak disemak sejak 2010, dinaikkan daripada RM9,000 kepada RM12,000.
"Kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan sebanyak satu mata peratusan," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2027 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Anwar, kerajaan mengambil kira keresahan golongan berpendapatan pertengahan (M40) yang turut berdepan tekanan kos sara hidup.
Bagi pendapatan bercukai antara RM70,000 hingga RM100,000, kadar cukai dikurangkan kepada 18 peratus, manakala banjaran RM100,000 hingga RM150,000 diturunkan kepada 24 peratus.
Dalam masa sama, kerajaan memperluas skop pelepasan cukai individu melibatkan perbelanjaan rawatan perubatan, pendidikan, sukan dan gaya hidup.
Pelepasan bagi rawatan perubatan kini merangkumi perkhidmatan penjagaan selepas bersalin, manakala penjagaan ibu bapa dan datuk nenek diperluas kepada semua perbelanjaan penjagaan, bukan lagi terhad kepada kos kesihatan.
Bagi kategori pendidikan, pelepasan cukai diperluas kepada semua bidang pengajian dan tuisyen anak, sementara pembelian kasut sukan turut dimasukkan dalam kategori peralatan sukan.
Pelepasan cukai gaya hidup pula diperluas merangkumi langganan kecerdasan buatan (AI), selain kos pemvaksinan dan pengambilan haiwan peliharaan angkat daripada pusat berdaftar.
Bagaimanapun, Anwar berkata, kerajaan turut mengambil pendekatan progresif dengan menyelaraskan kadar cukai bagi individu berpendapatan tinggi melebihi RM1 juta kepada 30 peratus.
"Ini bermakna kenaikan pelepasan cukai dan pengurangan kadar cukai individu, bakal memberi lebihan pendapatan boleh guna sehingga RM1,600 kepada kira-kira lima juta pembayar cukai," katanya lagi.