Skip to main content

Malaysia

Belanjawan 2027: KPKM mohon peruntukan tambahan hadapi El Nino

MAHA MAT SABU. Astro Awani
Mohamad Sabu (tengah) semasa sidang media Majlis Perasmian MAHA Trade Days di Maeps Serdang. - Foto Astro AWANI
Advertisement

SERDANG: Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memohon peruntukan tambahan menerusi Belanjawan 2027 bagi menghadapi kemungkinan fenomena El Nino yang lebih serius serta cuaca tidak menentu tahun depan.

Menterinya, Mohamad Sabu, berkata peruntukan tambahan itu diperlukan bagi memastikan sektor agromakanan negara bersedia menghadapi kemarau dan peningkatan suhu yang boleh menjejaskan tanaman.

Menurut beliau, antara keperluan yang dikenal pasti termasuk bekalan baja serta peralatan dan input bagi meningkatkan daya tahan tanaman terhadap keadaan cuaca ekstrem.

“Belanjawan kali ini kita hendak terutama dari segi El Nino. Kita minta kerajaan bersedia untuk berikan peruntukan tambahan untuk bersedia menghadapi kemarau, haba yang tidak menentu.

“Kemungkinan kita perlu baja dan alat-alat ketahanan kepada pokok dan sebagainya yang memerlukan belanja tambahan,” katanya semasa sidang media Majlis Perasmian MAHA Trade Days, di sini, hari ini. 

Sehubungan itu, beliau berkata, perkara itu telah disenaraikan oleh Ketua Setiausaha (KSU) kementerian dan beliau bersama KSU turut mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Kewangan II bagi membincangkan keperluan berkenaan.

"Terdapat persetujuan untuk menambah peruntukan khususnya bagi menghadapi cabaran global serta kemungkinan El Nino yang dijangka melanda Malaysia dengan lebih teruk tahun depan.

"Bagaimanapun, perbincangan mengenai peruntukan itu masih dalam proses dan masih terdapat ruang untuk pindaan sebelum Belanjawan 2027 dimuktamadkan," ujarnya lagi. 

Dalam perkembangan sama, Mohamad berkata program subsidi bagi sektor agromakanan masih akan diteruskan, namun pelaksanaannya akan dinilai dari semasa ke semasa berdasarkan keperluan.

Katanya, subsidi bagi sektor tertentu seperti ayam dan telur, sawah padi serta nelayan masih diperlukan bagi memastikan kelangsungan pengeluaran dan pendapatan golongan terbabit.

“Program subsidi masih diteruskan, cuma kita kena lihat dari semasa ke semasa.

“Kalau dulu subsidi ayam dan telur, begitu juga dengan sawah padi perlu diteruskan kerana jurang penghasilannya tidak lagi seimbang kalau tidak dibantu dengan subsidi. Begitu juga nelayan, perlu juga subsidi diteruskan. 

“Kalau ada perkara yang kita nampak boleh berdikari, tidak perlu subsidi, kita akan hentikan. Itu yang kita ambil langkah sekarang ini,” ujarnya lagi. 

Must Watch Video

Advertisement